RM1 juta untuk 20 sekolah di Balai Ringin


SIMUNJAN: Kerajaan negeri memperuntuk RM1 juta kepada 20 sekolah di kawasan Balai Ringin bagi tujuan menaik taraf kemudahan di sekolah berkaitan.

Perkara itu diumumkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem sebagai respons kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin Snowdan Lawan yang memohon RM500,000 untuk 19 sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah di kawasannya.

“Snowdan memohon geran setengah juta, tetapi saya memperuntuk RM1 juta kepada sekolah terbabit.

“Bagaimanapun, saya berharap rakyat di kawasan ini akan membantu wakil rakyat dalam meneruskan agenda pembangunan nanti,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Telagus/Jerok di sini, semalam.

Adenan menegaskan, usaha meningkatkan lagi kemudahan sekolah khasnya di luar bandar merupakan agenda pembangunan diutama apabila menggalas tanggungjawab Ketua Menteri.

Menurutnya, dalam 18 bulan menerajui Sarawak iaitu tempoh singkat, kerajaan negeri membuat 38 keputusan pembangunan yang diharap menguntungkan semua rakyat pelbagai kaum Sarawak.

“Saya adalah Ketua Menteri untuk Sarawak iaitu untuk semua rakyat Sarawak. Bukan untuk satu-satu kaum sahaja, untuk semua lapisan masyarakat kita.

“Pada masa saya dilantik sebagai Ketua Menteri salah satu perkara turut saya fikir bagaimana membantu golongan miskin, tidak berkemampuan dan orang kurang upaya (OKU) di negeri ini,” katanya.

Beliau memberitahu akan mencadangkan penambahan elaun kebajikan kepada golongan berkenaan pada persidangan DUN akan datang.

Menyedari juga kebanyakan golongan masih miskin berada di luar bandar, katanya, beliau akan terus memohon peruntukan RM500 juta pada persidangan DUN akan datang bagi tujuan pembangunan luar bandar.

Adenan menjelaskan pada persidangan DUN lepas, peruntukan RM500 juta yang dilulus untuk pembangunan luar bandar berjaya merealisasikan pelaksanaan beberapa pembangunan termasuk Jambatan Limbang, Jambatan Long Lama, Jambatan Sibuti dan Jambatan Bako.

“Jika dilulus RM500 juta lagi pada persidangan akan datang, maka banyak lagi jambatan serta jalan yang akan dilaksanakan di luar bandar.

“Ia merupakan pelengkap kepada peruntukan daripada kerajaan pusat,” ujarnya.

Sementara itu, Snowdan dalam ucapannya memberitahu SK Telagus/Jerok telah dibina pada 1967 dengan menggunakan kayu dan dibina semula pada tahun 2009 selepas diluluskan Kementerian Pendidikan.

Katanya, sekolah itu berjaya disiapkan pada tahun 2011 dengan kos pembinaan RM22 juta yang mempunyai beberapa blok dengan 12 bilik darjah.

“Pada mula pembinaanya iaitu 1967, hanya 20 murid sahaja namun kini ia mempunyai hampir 300 murid serta 30 tenaga pengajar.

“Daripada jumlah pelajar itu, 150 orang tinggal di asrama sekolah ini dan selain sekolah ini, saya berharap 20 sekolah lain di Balai Ringin turut dinaik taraf,” katanya.

Snowdan memberitahu, selain sekolah terdapat pelbagai isu dihadapi di kawasannya harus diambil kira kerajaan termasuk perimeter survei tanah dan isu pemindahan penduduk yang terjejas akibat pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo nanti.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget