Pembangunan infrastruktur, utiliti SCORE dipertingkat

Ia wujud peluang baharu pelaburan di kawasan itu dalam tempoh lima tahun akan datang

KUCHING: Pembangunan infrastruktur dan utiliti di kawasan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) akan terus dipertingkatkan dalam usaha mewujudkan peluang baharu pelaburan di kawasan itu dalam tempoh lima tahun akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) Tan Sri Datuk Amar Wilson Baya Dandot berkata sejak dirasmikan pada 2008 hingga kini pihaknya mendapat peruntukan RM2.5 bilion daripada kerajaan pusat bagi membangunkan infrastruktur dan utiliti di kawasan wilayah tengah Sarawak yang sepanjang 320 kilometer itu.

Menurutnya 10 industri strategik dikenal pasti berpotensi dibangunkan di SCORE antaranya industri berasaskan minyak (petroleum dan gas), aluminium, keluli, kaca, industri berasaskan kelapa sawit, perikanan dan akuakultur serta pelancongan.

Katanya setiap industri strategik itu dibangunkan dalam lima nod pertumbuhan utama SCORE iaitu Tanjung Manis, Mukah, Samalaju, Baram dan Tunoh.

“Apabila bercakap mengenai SCORE atau koridor kita, sebenarnya berbicara mengenai pelan, yang dapat menjana pulangan, mempromosikan pelaburan dan seterusnya eksport.

“Namun pelaburan di SCORE perlu dilihat dalam konteks yang pelbagai dan untuk memastikan pelabur datang melabur di sini, kita mesti ada kemudahan serta utiliti.

“Malah ada pelabur mahukan bandar baharu diwujudkan seperti yang telah berjaya kita lakukan di Samalaju,” jelasnya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama pada Rundingan Panel bertajuk ‘Peluang-Peluang Pelaburan SCORE 2015-2020’ di sebuah hotel di sini, semalam.

Rundingan anjuran Oxford Business Group (OBG) dan RECODA itu disertai empat lagi ahli panel iaitu Pengarah Editor Asia OBG Paulius Kuncinas, CEO Sarawak Energy Berhad Datuk Torstein Dale Sjotveit, Ketua Bahagian Pembangunan Samalaju di CMS Datuk Isaac Lugun dan CEO Kumpulan Press Metal Bhd Datuk Paul Koon Poh Keong.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Baya berkata sementara infrastruktur fizikal kritikal untuk menarik pelaburan dan menyediakan perhubungan, keutamaan infrastruktur sosial di bawah SCORE harus memfokus kepada pembangunan pendidikan, kesihatan, perumahan dan kemudahan rekreasi.

Pembangunan itu katanya, penting dan perlu untuk menampung pertumbuhan pesat populasi di SCORE apabila ia beroperasi sepenuhnya nanti.

“Nod pertumbuhan Mukah misalnya, di situ kita ada pelbagai institusi pendidikan yang tidak hanya universiti tetapi pusat latihan teknikal dengan tujuan menyediakan tenaga kerja mahir khususnya untuk SCORE.

“Tetapi sebelum itu kita perlu membangunkan infrastruktur di situ selain bekalan elektrik dan air terawat,” katanya.

Menyentuh mengenai peluang pelaburan di SCORE, Baya berkata antara peluang pelaburan yang berpotensi diterokai pada masa akan datang ialah industri pelancongan dan makanan.

Nod pertumbuhan Baram katanya, mempunyai potensi besar dibangunkan sebagai destinasi ekopelancongan kerana kawasan tanah tinggi Sarawak itu kaya dengan keindahan alam semula jadinya.

Justeru ujarnya perhubungan ke nod-nod luar bandar seperti Baram akan diperhebatkan dan sebagai permulaan pembinaan jalan dan jambatan merentasi Sungai Baram yang menelan kos besar.

“Kita juga merancang membangunkan kawasan pertanian bersepadu tanah tinggi di Bario bagi menjadikannya ‘food basket’ dan Bandar Baharu Telang Usan sebagai pusat pertumbuhan wilayah untuk kawasan pedalaman (di situ),” ujarnya.

Mengenai pelaburan di Samalaju, Baya berkata setakat ini lebih RM36 bilion nilai pelaburan disumbang oleh pelabur.-Utusan Borneo
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget