Masing: Faham perkara ini, BN S’wak tidak merangkumi Teras, UPP


KOMEN: Pemimpin dan ahli Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras) dan Parti Rakyat Bersatu (UPP) akan mendapati pintu BN terbuka luas jika mereka mendengar kenyataan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Dr James Masing pada 5 Oktober lalu.

Menurut Masing, keadaan politik di negeri itu tidak akan menjadi isu jika mereka yang terbabit tidak hanya memikirkan diri sendiri.

Kebuntuan yang berlaku sekarang boleh diselesaikan dengan mudah jika pihak yang terlibat serius untuk berkhidmat kepada penduduk di kawasan mereka.

“Pada PRU ke-12, kami berhadapan masalah di Julau. Itu adalah kerusi PRS dan Joseph Salang mahu bertanding sebagai calon BN, tetapi beliau bukan ahli PRS. Sama juga di Kanowit. Itu kerusi BN tetapi Aaron Dagang mahu bertanding sebagai calon BN, tetapi saya katakan Kanowit adalah kerusi PRS.

“Jadi saya pergi jumpa (bekas Ketua Menteri) Pehin Sri Abdul Taib Mahmud. Tuan, saya ada masalah. Julau dan Kanowit adalah kerusi parti saya, tetapi orang yang ingin bertanding di sana bukan dari BN. Apa yang patut saya lakukan?

“Katanya: ‘Mudah sahaja, ajak mereka masuk parti anda’. Jadi saya berbincang dengan Joseph Salang dan Aaron Dagang dan mereka setuju,” kata Masing seperti dipetik.

Katanya lagi, sebab mengapa Salang dan Aaron bersetuju untuk menyertai PRS kerana mereka mengutamakan kepentingan pengundi.

Masing kemudian menambah: “Jadi begitulah cara saya selesaikannya. Mengapa buat keadaan jadi sukar, saya tidak faham. Ini kerana mereka hanya fikir apa yang akan mereka dapat, bukan pengundi yang memilih mereka. Ini perbezaannya.”

“Mereka” yang dimaksudkan itu tentulah pemimpin Teras - William Mawan, Peter Nansian, Sylvester Entri, Rosey Yunus dan Paulus Palu Gumbang – serta pemimpin UPP – Wong Soon Koh, Dr Jerip Susil, Ranum Mina dan Dr Johnical Rayong.

Pengisytiharan Mawan bahawa beliau “sentiasa dan selamanya Barisan” hanya akan dianggap sebagai retorik politik jika beliau tetap bertegas Teras adalah ahli BN, tanpa mengambil kira persetujuan parti komponen lain.

Begitu juga dengan tindakan Wong Soon Koh dan UPP. Sikapnya tidak akan dilihat ikhlas jika beliau masih merasakan UPP adalah satu-satunya wakil komuniti Cina dan mengenepikan kewujudan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dalam BN.

Mawan dan Wong tidak boleh sesekali merasakan Teras dan UPP begitu penting buat BN, sehingga gabungan itu tidak ragu-ragu untuk menyingkirkan SUPP dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) semata-mata untuk membolehkannya menjadi “parti mesra-BN”.

BN tidak akan berbuat begitu kepada parti komponennya. Itu bukan cara BN menyelesaikan perbezaan dalam gabungan. Malah orang tahu tentang kesukaran untuk menang pilihanraya jika mereka tidak bertanding di bawah bendera BN.

Saya fikir itu yang cuba disampaikan Masing apabila mengatakan sesiapa yang mahu menjadi calon BN tidak patut hanya bergantung kepada simbol ‘dacing’ untuk menang, tetapi atas populariti sendiri.

Siapakah di dalam Teras yang berani berkata mereka boleh menang tanpa perlu menyebelahi BN?

Mawan, yang menjadi calon DAP ketika pertama kali bertanding dulu, pasti sangat tahu tentang perkara ini.

Siapa pula dalam UPP, kecuali Rayong, yang berani mendakwa tidak perlu menggunakan simbol ‘dacing’ untuk menang dalam pilihanraya negeri akan datang?

Rayong menang di kerusi DUN Engkelili pada 2006 sebagai calon pembangkang Parti Nasional Sarawak (SNAP), manakala Masing menjadi calon Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) dan menentang BN sebanyak dua kali – 1987 dan 1991.

“Ujian sebenar adalah kemampuan untuk menang tanpa menggunakan simbol BN, terutama di kawasan pedalaman. Maka calon bukan BN tidak boleh disokong oleh organisasi politik BN sehinggalah mereka diterima masuk; jika tidak BN akan dilihat melawan undang-undangnya sendiri,” kata Masing lagi.

Sehingga saat ini, Teras dan UPP masih bukan komponen BN. Sehinggalah mereka diterima masuk, kemampuannya untuk menang bukan sahaja diragui, malah tidak relevan.

Namun mereka boleh menjadikannya relevan jika sanggup mengikut cara BN.

Dan Masing telah mengatakannya; jika keutamaan utama mereka adalah BN dan pengundi, maka buang keangkuhan dan patuh dengan cara BN.

Di Sarawak, peraturan ini ditentukan oleh Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), PRS, SUPP dan SPDP.

Ia amat jelas, dan Teras dan UPP tidaklah terlalu bodoh sehingga tidak memahaminya.-The Ant Daily

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget