38 NGO kecam penahanan Khairuddin bawah Sosma


Sebanyak 38 badan bukan kerajaan (NGO) hari ini mengecam tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menahan bekas naib ketua Umno bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).

Presiden Persatuan Hak Asasi (Hakam) Datuk S Ambiga yang mewakili NGO terbabit menyifatkan tindakan tersebut tidak wajar dan mendakwa penahanan Khairuddin melanggar peruntukan di bawah Sosma itu sendiri.

"Kami sangat bimbang dengan penyalahgunaan Sosma," katanya pada satu sidang media di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, hari ini.


Katanya, ketika Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) digubal, ia dijanjikan hanya akan digunakan terhadap komunis.
"Tetapi berapa banyak kali janji itu dimungkiri.

"(Sekarang) Seksyen 4(3) Sosma ada menyebut tiada orang boleh ditahan semata-mata kerana kepercayaan atau aktiviti politiknya.

"Kita tak tahu kenapa Khairuddin ditahan. Itu satu penahanan yang salah," kata Ambiga.

Bersetuju dengan perkara tersebut, Pengarah Eksekutif Institut Rakyat Yin Shao-Loong berkata, sejak dua tahun lalu sehingga Mei tahun ini, sejumlah 158 individu ditahan di bawah akta tersebut.

"Sangat tidak wajar untuk menahan tanpa bicara jika tiada bukti yang cukup untuk dibawa ke mahkamah di bawah undang-undang yang sepatutnya.

"Sejak 2013, seramai 115 orang ditahan, 2014 seramai 37 orang dan sehingga Mei tahun ini, seramai 6 orang ditahan," katanya yang juga seorang peguam.

Justeru, 38 NGO itu berpendapat, Khairuddin wajar dibebaskan kerana penangkapan di bawah Sosma adalah tidak sah.

Turut hadir pada sidang media hari ini ialah wakil Akademi Belia, Bersih 2.0 dan Sisters In Islam (SIS).

Di bawah Seksyen 4(5) Sosma, seorang pegawai polis berpangkat penguasa atau lebih tinggi boleh melanjutkan penahanan sehingga 28 hari untuk siasatan, selepas tempoh awal selama 24 jam dari masa tangkapan.

23 September lalu, Khairuddin ditahan di bawah akta tersebut, dipercayai berkaitan laporan yang dibuatnya dengan beberapa penguatkuasa antarabangsa terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak dan 1MDB. –The Malaysian Insider

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget