Masa depan Malaysia masih dalam sistem dua parti, kata Nik Nazmi


Keruntuhan Pakatan Rakyat (PR) tidak bermaksud berakhirnya prospek sistem dua parti di negara ini, rakyat Malaysia di Australia diberitahu pada satu forum pada Sabtu.

Nik Nazmi Nik Ahmad dari PKR dan aktivis masyarakat sivil Akmal Nasir berkata, mereka optimistik, akan wujud satu gabungan kepentingan pembangkang yang berkesan akibat daripada perpecahan itu.

Kedua-duanya berkata demikian ketika berucap pada satu forum anjuran pertubuhan pelajar Malaysian Progressives Australia (MPOZ) di Melbourne.

Nik Nazmi, ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia dan Ketua Pemuda PKR, berkata pihak berkepentingan baru dan bakal rakan kongsi berpotensi bergabung dalam satu "politik harapan" yang menjanjikan model baru kepentingan politik, yang menawarkan alternatif yang boleh diharap, kepada Barisan Nasional.

Beliau menimbulkan mengenai penyertaan pertubuhan sivil dan badan bukan kerajaan, sambil menyebut nama Datuk Seri Nazir Razak, adik kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai berpotensi menyertai mereka.

Antara perkembangan lain ialah penubuhan Gerakan Harapan Baru (GHB), pelopor kepada parti baharu yang digerakkan golongan progresif yang tersingkir dalam PAS, termasuk Dr Dzulkefly Ahmad.

Pengarah National Oversight & Whistleblowers (NOW) yang juga Ketua PKR Johor, Akmal Nasir berkata, walaupun politik bukan perkauman adalah yang ideal, identifikasi politik diikuti sokongan oleh bangsa adalah realiti.

“Pada kesudahannya, anda perlukan PAS (yang progresif),” katanya.

“Atau PAS alternatif yang mewakili kepentingan golongan progresif dalam PAS seperti sebelum ini,” katanya.

Naib Presiden MPOZ Hamidi Rahim, yang turut menjadi ahli panel bersama Nik Nazmi dan Akmal, kritikal terhadap ikatan “asalkan bukan Umno” yang menyatukan kepentingan PAS, DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat.

“Model gabungan yang sebegitu hanya memfokuskan kepada politik negatif, tidak menawarkan alternatif yang positif,” kata mahasiswa undang-undang tahun akhir di Monash University itu.

Beliau memetik bantahan parti pembangkang terhadap cukai barangan dan perkhidmatan (GST), yang secara umumnya diterima ahli ekonomi seluruh dunia.

“Sila bawa pesanan (alternatif yang berwibawa) ini balik (ke Kuala Lumpur),” katanya.

Nik Nazmi dan Akmal dijangka menyertai forum hampir serupa dengan MPOZ esok di Canberra.

Akmal, atas kapasiti pengarah NOW, mengadakan sidang media bersama dengan Saya Anak Bangsa Malaysia bahagian Melbourne selepas forum di sana, mengumumkan laporan sudah dibuat kepada pihak berkuasa Australia mengenai tuduhan melanggar undang-undang berhubung pembelian hartanah Mara di Melbourne.

Laporan lain akan disusuli berhubung tuduhan lari cukai, penggubahan wang, undang-undang syarikat dan pelanggaran peraturan pelaburan asing. – 12 Julai, 2015.

- The Malaysian Insider
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget