Bantuan kecemasan kepada pengguna Pan Borneo




Telefon awam di laluan itu diharap membantu pengguna jalan raya apabila dalam kecemasan: Fadillah

KUCHING: Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof memaklumkan bahawa kemudahan telefon awam yang disediakan di laluan Pan Borneo diharap dapat membantu pengguna jalan raya apabila dalam kecemasan.

“Ini sebahagian daripada inisiatif kami supaya pengguna mudah berhubung dan sekiranya terdapat masalah, kecemasan dan sebagainya kami dapat menghantar pasukan untuk menyelamat atau memberi bantuan kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui pemberita ketika menghadiri Majlis Pengagihan Bubur Lambuk JKKK/Surau/DBKU di Surau Darul Qarar, Jalan Patingan di sini petang semalam.

Fadilah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya menjelaskan bahawa kemudahan itu merupakan antara Prosedur Operasi Standard (SOP) kementerian bagi pengguna jalan raya semasa musim perayaan.

Sementara itu, Fadillah berkata gerai kecemasan telah ditubuhkan di sepanjang Pan Borneo bagi membantu pengguna jalan raya dalam kejadian yang tidak dijangka semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan datang.

“SOP kami meletakkan semua kemudahan ini bagi memudahkan pengguna mendapatkan khidmat pasukan keselamatan, selain anggota keselamatan semasa musim perayaan ini.

“Mereka adalah untuk tujuan kecemasan dan untuk membantu rakyat semasa perayaan-perayaan.

“Malah, ia kini merupakan prosedur operasi standard bagi kami untuk menawarkan perkhidmatan telefon dan pasukan penyelamat stesen,” jelasnya.

Menjawab persoalan mengenai kenderaan berat di Sarawak akan dilarang daripada melalui laluan tersebut, beliau menjelaskan: “Semasa musim perayaan juga kenderaan berat hanya dibenarkan melalui jalan raya berkenaan sehari sebelum musim perayaan dan sehari selepas perayaan bergantung kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Kenderaan berat hanya dibenarkan melalui laluan itu sehari sebelum musim perayaan dan sehari selepas musim perayaan… namun ia semuanya bergantung kepada JPJ,” katanya.

Tambahnya, kerajaan juga hanya membenarkan kenderaan berat melalui laluan ini khususnya pada masa tertentu terutama musim perayaan atau waktu puncak.

“Salah satu sebab kemalangan berlaku adalah adanya kenderaan berat, selain orang suka memotong pada masa ini.

“Apabila keadaan ini berlaku, timbulnya perasaan tidak sabar dan ini pastinya akan mengganggu pengguna jalan raya lain,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Fadillah memaklumkan bahawa kerja menaik taraf Batu 10 hingga 15 Jalan Kuching-Serian di sini dijangka akan bermula tahun ini sebaik sahaja Jabatan Kerja Raya (JKR) memuktamadkan pelantikan kontraktor berdasarkan tender.

“Ia masih dalam proses tender. Sekarang saya rasa JKR Sarawak melakukan penilaian. Anggaran kami adalah RM80 juta kerana projek itu melibatkan pampasan tanah dan penempatan semula utiliti.

“Terdapat beberapa utiliti dan sebab itu ia agak mahal… kerana jika dipindahkan bermakna perlu memasang semua utiliti baharu, paip baharu dan pendawaian baharu (dipasang semula),” katanya.

Fadillah bagaimanapun tidak mahu kos projek tersebut melebihi bajet.

“Perbelanjaan yang kita ada kira-kira RM80 juta termasuk ganti rugi tanah, pemasangan semula utiliti dan kos sebenar pembinaan.

“Tetapi jika setiap orang meletakkan lebih daripada itu, pasti ia akan melambatkan keseluruhan proses,” jelasnya sambil menambah, projek menaik taraf tersebut biasanya akan mengambil masa kira-kira 24 bulan untuk disiapkan.

Tetapi yang ini boleh mengambil masa yang lama kerana perlu melakukan pengurusan lalu lintas dan penempatan semula akan mengambil sedikit masa, jelasnya lagi.

Apabila diminta mengulas mengenai rombakan Kabinet yang dikhabarkan, Fadillah menjawab: “Saya tidak tahu. Jadi anda perlu bertanya kepada orang yang menyebarkan khabar angin.

“Pada saya, saya tidak tahu. Saya tidak pernah mendengar tentang perkara itu,” tambahnya.

Bercerita mengenai majlis tersebut, jurucakapnya berkata sebanyak 600 bubur lambuk diedarkan kepada penduduk dan pengguna jalan raya di sekitar surau dan kawasan yang berhampiran.- Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget