Malaysia perlu hormati arahan Thailand: Nancy



Justo sedang disiasat, campur tangan mungkin ganggu proses siasatan untuk dibawa ke mahkamah

KUCHING: Malaysia perlu menghormati arahan pihak berkuasa Thailand yang tidak membenarkan temu bual dilakukan ke atas bekas eksekutif PetroSaudi International Xavier Andre Justo yang ditahan di negara itu berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (IMDB).

Ini kerana, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri beliau percaya pihak berkuasa Thailand ketika ini sedang menjalankan siasatan ke atas warga Switzerland itu atas kesalahan yang dilakukan di negara terbabit.

“Sebab itu mungkin terdapat sedikit halangan untuk pihak berkuasa Malaysia mendapatkan akses bagi merakam kenyataan Justo yang mana kini masih lagi dalam proses siasatan oleh pihak berkuasa Thailand.

“Kalau kita campur tangan pada masa ini, mungkin ia akan mengganggu proses siasatan apatah lagi ia melibatkan bukti serta dakwaan di mahkamah,” ujarnya yang ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran beliau di Dewan Undangan Negeri lama di sini, semalam.

Nancy yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong menambah, dengan mematuhi arahan daripada pihak berkuasa Thailand ia akan memberi peluang kepada sesebuah negara itu menjalankan tugas mereka sehingga selesai.

“Jika pihak berkuasa Thailand berjaya menyelesaikan isu ini, ia mungkin akan membantu Malaysia dalam menangani isu berkaitan 1MDB.

“Sebab itu saya berpendapat bahawa ini bukan satu halangan yang disengajakan kepada Malaysia, sebaliknya hanya prosedur biasa di negara berdaulat di mana mereka tidak akan mendedahkan maklumat dengan begitu mudah sekali,” tambahnya.

Sehubungan itu, Nancy meminta semua pihak agar tidak memberi komen secara negatif kepada kerajaan seolah-olah kerajaan tidak mengambil berat akan isu ini.

Beliau juga berharap rakyat akan memahami perkara ini dan percaya bahawa kerajaan bersikap telus dalam menjalankan tugas serta tidak akan campur tangan dalam hal-hal membabitkan perundangan negara lain.

Dalam pada itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar kelmarin berkata pihaknya akan merujuk Jabatan Peguam Negara bagi mendapatkan akses merakam kenyataan Justo.

Khalid dimaklumkan rakan sejawatnya, Jeneral Somyot Poopanmoung bahawa tiada temu bual boleh dilakukan sehingga Justo didakwa di mahkamah Thailand.

Justo ditahan pihak berkuasa Thailand pada 22 Jun lalu atas tuduhan cuba memeras ugut bekas majikannya sehingga 2.5 juta Swiss France (RM10 juta) dan mengancam akan mendedahkan maklumat sulit perniagaan yang didakwa dicurinya daripada syarikat jika tuntutannya tidak dipenuhi.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget