SELAMAT ULANG TAHUN: Adenan bersama Awang Tengah (tiga kiri), Abang Abdul Karim (lima kiri) bersama tetamu jemputan lain memotong kek sempena sambutan Ulang Tahun Ke-64 SCCI di Kuching, malam kelmarin.
|
KUCHING: Sarawak berjaya menarik pelaburan bernilai RM11.76 bilion dalam tempoh sembilan bulan tahun ini, kedua terbesar selepas Johor (RM30 bilion).
Menteri Pembangunan Perindustrian Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, Sarawak terus menunjuk prestasi baik secara konsisten sejak empat tahun lepas sebagai empat teratas destinasi pelaburan dipilih di Malaysia.
“Kejayaan ini hanya dapat dicapai dengan adanya kestabilan politik dan kecekapan kerajaan kerana pelabur mempunyai keyakinan terhadap kepimpinan tertinggi selain kemampuan kita menyedia infrastruktur asas dan sokongan.
“Selain menarik pelabur asing besar, kerajaan negeri juga terus menyokong perkembangan perusaha kecil dan sederhana melalui pelbagai insentif dan inisiatif termasuk membangunkan lebih banyak estet perindustrian di seluruh Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-64 Dewan Perniagaan dan Perindustrian Sarawak (SCCI) yang dihadiri Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem dan Presiden SCCI Datuk Abang Abdul Karim Tun Abang Openg di sini, malam kelmarin.
Menurut Awang Tengah, di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) estet perindustrian baharu turut dibangun di bandar kecil seperti Lundu, Betong, Sri Aman, Sebuyau, Marudi dan Bau sebagai sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Kita berharap sekurang-kurangnya satu taman perindustrian akan dibangunkan di setiap daerah.
“ Terutamanya di kawasan luar bandar kerana ia selari dengan visi Ketua Menteri untuk memacu pembangunan luar bandar,” katanya.
Sementara itu Abang Abdul Karim dalam ucapannya berkata, di Malaysia khasnya di Sarawak antara cabaran dihadapi komuniti perniagaan adalah impak tragedi udara melibatkan pesawat milik Malaysia.
Katanya selain itu, kejadian banjir besar dan penurunan ketara harga eksport komiditi terutama minyak serta gas yang mana Sarawak pengeluar utamanya, turut memberi kesan.
“Perkara ini dijejaskan lagi dengan penyusutan ringgit berbanding mata wang utama dunia termasuk dolar Amerika Syarikat.
“Apa membimbangkan kita ialah kesannya terhadap kos perniagaan kerana boleh menjejas daya saing yang kian banyak terutama perniagaan global,” kata beliau.
Beliau memberitahu, SCCI pada masa sama mengambil pelbagai langkah dalam usaha menggalak sektor swasta di negeri ini dengan menjalin rangkaian lebih aktif dengan dunia luar.
Tambah beliau, ia termasuk mewujudkan kumpulan fokus khas bagi tujuan mempromosi dan mengukuh rangkaian perniagaan serta hubungan SCCI dengan pihak Konsulat China dan Indonesia.
Majlis itu turut menyaksikan Adenan menyampaikan Anugerah Tahunan Keusahawanan Sarawak 2015.
Anugerah Kecemerlangan Keusahawanan Sarawak 2015 dinobatkan kepada Temenggung Datuk Barry Yek manakala Anugerah Tahunan Keusahawanan Sarawak disampaikan kepada Peru Balan Ding (Master Entrepreneur), Alex Ting (Master Entrepreneur) dan Datuk Peh Lai Yian (Usahawan Cemerlang Luar Sarawak).
- Borneo Post Online
Post a Comment