Jalan persekutuan Sarawak dijangka bertambah teruk

Ia susulan pengurangan peruntukan untuk tujuan penyelenggaraan jalan secara mendadak dalam Bajet 2016

KUCHING: Keadaan jalan persekutuan di Sarawak dijangka terus bertambah teruk sekali gus berbahaya dilalui susulan pengurangan peruntukan untuk tujuan penyelenggaraan jalan secara mendadak dalam Bajet 2016.

Sambil menyifatkan pengurangan bajet itu mengejutkan, Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pusat Sim Tze Tzin berkata, bajet tahun depan untuk penyelenggaraan jalan persekutuan yang dikongsi bersama ketiga-tiga tempat itu mengalami pengurangan sebanyak RM329 juta atau -76.7 peratus.

Jelasnya, kos penyelenggaraan jalan persekutuan bagi Sabah, Sarawak dan Labuan, peruntukan berkurang daripada RM429 juta pada 2014 kepada RM160 juta pada tahun ini dan berkurang lagi kepada hanya RM100 juta untuk 2016.

“Ini merupakan pengurangan mendadak dua tahun berturut-turut. Ekoran pemotongan bajet, saya menjangkakan pada tahun 2016 keadaan jalan raya persekutuan di Sarawak akan menjadi sangat berbahaya.

“Nyawa pengguna jalan persekutuan terutama penunggang motosikal akan terancam dan ini merupakan perkara serius yang memerlukan perhatian segera,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Hadir sama, Naib Pengerusi PKR Sarawak See Chee How dan Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil.

Sim yang juga Ahli Parlimen Bayan Baru berkata, jalan persekutuan di Sarawak pada masa sekarang telah mencapai keadaan yang teruk malah boleh dikatakan paling teruk di seluruh negara.

Menurut beliau, keadaan jalan raya persekutuan di Sarawak amat membimbangkan lebih-lebih lagi apabila sering dilalui lori besar serta lori balak, sekali gus mengakibatkan ia kerap rosak dan perlu dibaiki dan diturap secara berkala.

Jumlah RM429 juta yang diperuntukkan pada 2014 pada pendapat beliau adalah peruntukan minimum untuk menyelenggara jalan persekutuan Sabah dan Sarawak yang beribu-ribu kilometer panjangnya.

“Jadi bagaimana RM100 juta dapat menampung kos penyelenggara jalan raya beribu-ribu kilometer? Dengan pemotongan bajet dua tahun berturut-turut, Sabah dan Sarawak sekarang mengalami ‘kerugian’ sebanyak RM598 juta, lebih dari setengah bilion ringgit,” katanya.

Peruntukan penyelenggaraan di bawah Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) jelas beliau, melibatkan kerja-kerja seperti penurapan semula, penggantian papan-papan tanda, penampalan lubang jalan, memotong rumput, mencantas pokok, menyapu jalan raya dan membersihkan longkang jalan raya.

Sim memberitahu, ironinya Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof dan Timbalannya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin masing-masing merupakan wakil rakyat dari Sarawak dan Sabah.

Beliau turut menegaskan bahawa pembinaan projek Lebuh Raya Pan Borneo tidak wajar dijadikan alasan dalam pengurangan bajet berkenaan memandangkan bajet pembangunan dan bajet penyelenggaraan merupakan bajet berbeza.

“Tambahan pula, projek Pan Borneo adalah janji kerajaan yang tidak dilaksanakan sejak tahun 1970-an, maka rakyat Sarawak berhak mendapat Lebuh Raya Pan Borneo dan juga bajet penyelenggaraan secukupnya,” katanya.

Dalam pada itu, Sim menyeru kerajaan negeri khasnya Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem menggesa Fadillah untuk mendapatkan tawaran lebih baik untuk Sarawak atau negeri ini akan terus dipinggirkan oleh kerajaan persekutuan.

“Apa yang Ketua Menteri katakan secara terbuka di khalayak ramai selama ini kelihatan amat baik tetapi lebih molek jika ia dapat diterjemahkan kepada kerja-kerja baik.

“Untuk itu, Ketua Menteri perlu melakukan sesuatu agar Sarawak menerima bahagian lebih adil dan kami di Keadilan bersedia menyokongnya bersama wakil rakyat BN Sarawak di Parlimen,” katanya.

Sementara itu, See yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang memberitahu, isu itu merupakan perkara yang sering dibangkitkan memandangkan 25 Ahli Parlimen adalah berasal dari Sarawak.

“Mereka boleh membuat perbezaan besar dengan menggunakan kelebihan itu untuk mendapatkan lebih banyak kebaikan untuk Sarawak.

“Seperti yang Sim katakan, apa yang berhak diperolehi oleh Sarawak telah diketepikan oleh kerajaan persekutuan,” katanya.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget