Lima laporan tanpa tindakan oleh polis?


KOMEN: Ramai antara kita akan merasa gerun apabila menonton rakaman seorang perempuan diserang dua lelaki di Port Dickson baru-baru ini.

Dua lelaki ini telah pun ditangkap dan didakwa atas cubaan membunuh, namun impak video tersebut pastinya masih berlegar dalam fikiran mereka yang menontonnya di media sosial.

Bagi sesiapa yang tidak tahu, ini ceritanya; mangsa D Megala, 24 tahun, ditetak parang berulang-kali oleh dua lelaki, termasuk suaminya K Saravanan.

Dalam video berdurasi seminit itu, pelaku bersama-sama rakannya Ahamad Mohd Latif dirakam menetak mangsa berulang kali. Dikatakan hubungan Saravanan dan Megala tidak berapa baik dan Saravanan menjadi marah apabila isterinya meminta cerai.

Mangsa cedera parah di tangan, badan dan kepala daripada serangan yang berlaku pada 1 Oktober itu. Beliau kini dirawat di Hospital Port Dickson.

Polis bertindak dengan segera dengan menangkap kedua-dua suspek kira-kira setengah jam selepas serangan. Seorang yang bersubahat dengan dua lelaki itu dipercayai masih bebas.

Menurut posting di media sosial, seorang kenalan mangsa berkata bahawa mangsa dan keluarga sudah lama diganggu suspek ekoran pertengkaran mereka.

Kenalan tersebut yang bernama Jay Alagan mendakwa telah mengenali mangsa sejak berusia 5 tahun. Katanya lagi, selepas perkahwinan mangsa dan suspek berantakan, suspek mula membuat ancaman.

“Lelaki itu (suspek) cuba membakar rumah dan mengancam membunuh isterinya. Malah ibubapa mangsa ada rakaman CCTV yang menunjukkan suspek membaling bom petrol ke rumah mereka, yang pasti akan musnah jika tidak kerana bantuan jiran yang memadamkan kebakaran.

“Bapa mangsa telah membuat lima laporan polis terhadap suspek, tetapi tiada tindakan diambil kerana polis berkata tiada bukti. Kini apabila mangsa bergelut dengan nyawa, baru mereka (polis) mahu bertindak?” katanya lagi di Facebook.

Jika apa yang dikatakan Jay benar, maka satu keaiban buat polis kerana gagal bertindak walaupun begitu banyak laporan dibuat, dan hanya bertindak selepas keadaan menjadi buruk.

Apatah lagi ini bukanlah kali pertama kita mendengar cerita polis yang mengarahkan pasangan yang bergaduh untuk “menyelesaikannya” sendiri, walaupun melibatkan ancaman bunuh.

Pada Mei lalu, akhbar Tamil Thina Kural melaporkan kisah penderitaan ibu kepada dua anak, yang sentiasa diserang dan diganggu bekas suami. Walaupun banyak laporan polis dibuat, polis tidak bertindak.

V Athikumari dari Ayer Tawar, Perak mendakwa suspek malah menceroboh masuk ke rumah dan menyerangnya secara fizikal, serta mengancam membahayakan anak mereka yang berusia 8 dan 5 tahun jika beliau melawan.

Ketika membuat laporan polis, Athikumari tergamam ketika polis memintanya membawa sendiri suspek ke balai.

“Kata mereka ada 10,000 orang India di Ayer Tawar, maka sukar bagi mereka untuk mencarinya,” katanya lagi.

Beliau akhirnya terpaksa ke beberapa balai polis yang lain, sebelum polis Manjung “memberi amaran” agar tidak membuat laporan di ibu pejabat.

Mengapa sangat tidak cekap? Adakah mereka dibayar gaji dengan duit rakyat untuk duduk di kerus empuk di bilik berpenghawa dingin?

Apa yang berlaku terhadap Megala mungkin lebih serupa dengan penderitaan K Menaga, 44 di Kluang, Johor. Tangan dan kaki Menaga dipotong suaminya Desember lalu.

Suspek kemudian membunuh diri manakala mangsa dirawat di unit rawatan rapi sejurus selepas insiden kejam itu. Akibatnya beliau kudung sepanjang hayat.

Semoga Megala mampu menempuhi pengalaman getir ini dan tidak akan menerima nasib yang sama, akibat pihak berkuasa yang tidak cekap.-The Ant Daily

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget