Pemilik NCR perlu manfaat inisiatif kerajaan iktiraf pemilikan tanah
SKRANG: Penduduk di luar bandar khususnya memiliki tanah hak adat Bumiputera (NCR) harus merebut peluang kempen menyukat tanah bagi membolehkan ia diberi hak milik sendiri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili Dr Johnical Rayong Ngipa berkata, ketika ini kerajaan sudah meluluskan peruntukan tambahan bagi membolehkan lebih banyak pemilik tanah NCR di negeri ini menyertai projek tersebut.
“Sehubungan itu, pemilik tanah harus merebut peluang keemasan ini kerana ia cara terbaik disediakan kerajaan BN untuk mengiktiraf tanah NCR rakyat,” katanya pada majlis pecah Tanah Jambatan Gantung Baharu Rumah Anggang Isang, Ng Mejong, Skrang semalam.
Menurutnya, kempen penyukatan tanah tersebut bertujuan mengiktiraf tanah rakyat dengan pemberian surat hak milik kekal dan bukan mahu merampasnya seperti mana dakwaan sesetengah pihak.
“Kerajaan tidak berniat sedikitpun merampas tanah rakyat sebaliknya mahu mengiktirafnya bagi membolehkan mereka mengusahakannya dengan tanaman komersil seperti kelapa sawit, lada, koko dan sebagainya sebagai sumber ekonomi.
“Jika ada pengambilan tanah dibuat untuk memberi laluan kepada pembangunan dan pengambilan itu diberi pampasan mengikut harga semasa,” katanya dan menambah pemilik boleh melaporkan kepada pihak berkuasa jika terdapat bukti kerajaan merampas tanah rakyat.
Berkenaan pembinaan jambatan gantung baharu bagi menggantikan jambatan gantung lama yang rosak akibat kejadian banjir besar pada 31 Februari lalu, beliau berharap agar jambatan itu dapat disiapkan lebih awal daripada jadual.
“Saya berharap kontraktor dapat menyiapkan jambatan itu dalam masa tiga bulan lebih awal berbanding enam bulan seperti dijanjikan memandangkan penghuni Rumah Anggang amat bergantung kepada jambatan itu menyeberangi sungai untuk ke seberang,” katanya.
Pembinaan dan kelulusan jambatan gantung baharu itu dalam masa yang singkat membuktikan kerajaan sangat prihatin dan mengambil berat setiap permasalahan menghantui rakyat.
“Justeru itu, saya berharap agar semua pihak tidak menjauhi kerajaan terutama pada pilihan raya negeri akan datang kerana lebih banyak pembangunan akan disalurkan lebih-lebih lagi Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem kini menumpukan pembangunan luar bandar.
“Saya kekal mempertahan konstituensi DUN Engkilili pada PRN akan datang di bawah bendera BN… justeru itu jangan terpengaruh dengan agenda segelintir kecil pihak mendakwa saya tidak dipilih pada pilihan raya akan datang,” katanya dan menambah Parti Rakyat Bersatu (UPP) adalah sebahagian daripada keluarga besar BN di bawah konsep BN-Plus.
Berkenaan kejatuhan harga getah, Dr Rayong menjelaskan semua pemohon di Mejong yang mahu mendapatkan bantuan RM500 akan menerimanya dan mereka dimasukkan dalam peringkat kedua.
“Usah risau… yang layak pasti menerimanya dan kerajaan tidak meminggirkan sebaik peruntukan tiba,” katanya.
Pada majlis sama, Dr Rayong turut mengagihkan geran MRP berjumlah RM10,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan RM5,000 kepada Persatuan Wanitanya.
Manakala Datuk William Nyalau yang turut menghadiri majlis sama mengagihkan dana sejumlah RM5,000 kepada Persatuan Wanitanya.-Utusan Borneo
Post a Comment