Kekalkan tradisi keharmonian negeri yang dibina nenek moyang dahulu
SIBU: Masyarakat umum disaran tolak fahaman mempunyai unsur-unsur memecahbelahkan keutuhan hubungan perkauman di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, Dr Annuar Rapa’ee berkata fahaman mempunyai unsur negatif dan mampu mengugat keharmonian kaum di negeri ini harus ditolak masyarakat umum tanpa perlu berfikir dua kali kerana hanya untuk kepentingan diri dan bersifat peribadi.
“Saya berharap kita mengekalkan suasana aman ini. Tidak perlu kita mencuba kaedah lain jika belum pasti dapat menjamin keharmonian dirasai pada masa kini.
“Kita lihat situasi perkauman di Semenajung Malaysia seperti tidak boleh dibantu lagi sehingga sukar melihat jalan penyelesaian kepada masalah perkauman mereka.
“Oleh itu, kita harus mengekalkan tradisi keharmonian kaum di negeri ini yang dibina nenek moyang kita dahulu,” katanya pada majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri 2015 anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Sibu (SCCCI) dan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Cawangan Sibu di rumah Temenggung Datuk Wan Hamid Edruce Tuanku Mohammad di sini semalam.
Kira-kira 100 orang penerima terdiri anak-anak yatim, ibu tunggal dan golongan mualaf menerima agihan sumbangan duit raya berjumlah RM10,000 daripada SCCCI disampaikan oleh pengerusinya, Hu Yu Siong.
Dr Annuar memuji peranan SCCCI sentiasa terlibat dalam aktiviti kebajikan dengan membantu masyarakat dari agama dan bangsa yang lain.
“Setiap kali Hari Raya, SCCCI tidak pernah lupa memberi sumbangan kepada masyarakat Islam di Sibu.
“Program SCCCI hari ini jelas menunjukkan satu ciri di mana masyarakat Sibu bekerjasama memajukan diri,” ujarnya.
Beliau memberitahu, walaupun jumlah Bumiputera di sini hanya 10 peratus namun masyarakat Bumiputera tidak perlu khuatir kerana masyarakat Cina dan Bumiputera di Sibu saling bantu antara satu sama lain.
Hadir sama Temenggung Datuk Wan Hamid Edruce Tuanku Mohammad, Pengerusi PERKIM Cawangan Sibu Datin Sharifah Zaidah Syed Abdul Aziz, Ahli-ahli Jawatankuasa SCCCI, ketua-ketua kaum dan penghulu-penghulu.-Utusan Borneo
Post a Comment