Krisis SUPP-UPP beban berat BN rampas kerusi Cina


TINJAUAN dilakukan seorang penganalis politik yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Dr Jeniri Amir sehingga Oktober 2015 mendapati populariti Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem dalam kalangan komuniti Cina ialah 84 peratus.

Penarafan itu lebih tinggi jika dibandingkan dengan penarafan diberikan Merdeka Centre pada April 2015, populariti Adenan dalam kalangan komuniti itu ialah 74 peratus.

Menurut Jeniri, peningkatan populariti Adenan khususnya dalam kalangan komuniti Cina berlaku disebabkan beberapa dasar diperkenalkan antaranya kerajaan negeri mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan peruntukan sejumlah RM7 juta untuk sekolah Cina di negeri ini sejak mula mengambil alih tampuk kepimpinan negeri pada Februari 2014.

Berlaku lonjakan ketara terhadap populariti Adenan apabila beliau memperjuangkan dasar ‘Sarawak Untuk Rakyat Sarawak’ dengan menuntut agar kerajaan pusat memulangkan kuasa autonomi kepada kerajaan negeri .

Perubahan yang dilakukan Adenan tidak hanya berhenti di situ, beliau turut mengumumkan pemansuhan tol di Sarawak, menurunkan kadar tarif elektrik domestik dan komersial, membanteras pembalakan haram dan rasuah serta banyak lagi, amat disambut baik oleh rakyat termasuk komuniti Cina.

“Cuma persoalannya ialah sama ada populariti dan sokongan dalam kalangan komuniti Cina akan diterjemah dalam bentuk undi.

“Ini bukan kerana pengundi Cina tidak menyokong Ketua Menteri tetapi disebabkan masalah dalaman bikinan BN sendiri yang berpunca daripada perpecahan SUPP sehingga lahirnya UPP. Pengundi Cina tidak suka dengan apa yang berlaku sekarang,” katanya.

Beliau berkata pengundi Cina lebih-lebih lagi di Padungan dan Pending sudah muak dengan apa yang berlaku antara SUPP dan UPP, kerana nampaknya masalah dalaman membabitkan kedua-dua parti itu bagaikan tiada penyelesaian positif.

Sekiranya penyelesaian kepada masalah dalaman itu tidak dicapai, katanya maka tidak mustahil akan berlaku pertembungan tiga penjuru iaitu antara SUPP, UPP dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan selewat-lewatnya Jun tahun ini.

Implikasinya, jika ia terjadi ialah berlaku pecahan undi kerana sebahagian pengundi Cina sudah tentu akan memilih SUPP manakala sebahagian lagi menyokong UPP dan yang meraih lebih sokongan ialah DAP.

Oleh itu untuk menyaksikan anjakan dari segi undi daripada pembangkang kepada BN kelihatannya agak ‘muram’, tambahnya.

“Ingin saya tegaskan di sini bukan kerana pengundi Cina tidak menyokong Ketua Menteri tetapi disebabkan masalah dalaman SUPP dan UPP.

“Kesimpulannya, adalah masih sukar untuk BN merampas kerusi-kerusi majoriti Cina khususnya Padungan dan Pending,” ujarnya.

Bagi penyandang kerusi Padungan, Wong King Wei pengundi di bandar mahukan perubahan-perubahan sebenar bukan perubahan hanya untuk menghadapi pilihan raya.

Mengakui Adenan telah mengambil inisiatif berani dan progresif, antaranya mengiktiraf UEC dan peruntukan dana untuk sekolah-sekolah Cina suatu usaha yang harus diberi pujian.

Bagaimanapun bagi apa yang dilakukan Adenan itu hanya perubahan ‘permukaan’ bukan perubahan sebenar dengan mengambil contoh peruntukan untuk sekolah Cina tidak disenaraikan dalam Bajet Negeri.

“Saya fikir Adenan telah mengambil langkah berani dan progresif. Saya perlu memberi ‘tepukan gemuruh’ kepada beliau lebih-lebih lagi dengan apa yang telah dilakukan untuk pendidikan Cina di negeri ini seperti pemberian peruntukan dan mengiktiraf UEC.

“Namun perubahan itu tidak memadai kerana bagi saya ia hanya ‘perubahan permukaan’ kerana ia bersifat sementara, contoh ketara ialah peruntukan untuk sekolah Cina tidak disenaraikan dalam Bajet Negeri,” katanya.

Beliau berkata pada 2014, tahun pertama Adenan dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak yang baharu, beliau memperuntukkan RM3 juta kepada sekolah-sekolah Cina di negeri ini, jumlah itu meningkat kepada RM4 juta pada tahun lalu dan tahun ini menjanjikan RM5 juta namun bersyarat.

Menurutnya, peruntukan RM5 juta itu hanya akan diberikan kepada sekolah Cina jika Adenan masih menjadi Ketua Menteri.

“Jadi dalam hal ini kita tidak mahu komuniti Cina terlalu bergantung kepada kerajaan untuk mendapatkan dana pendidikan, sedangkan hakikatnya pendidikan adalah tanggungjawab kerajaan,” katanya.

Bukan itu sahaja katanya, pengenalan 11 kerusi DUN baharu satu lagi perubahan yang dilakukan BN bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri akan datang kerana ia langsung tidak melibatkan konstituensi bandar yang besar seperti Padungan dan Pending.

DUN Padungan katanya mempunyai keluasan enam kilometer persegi dan jumlah mengundi berdaftar setakat April 2015 sekitar 24,000 orang.

“Padungan misalnya mempunyai jumlah pengundi yang ramai dan meliputi kawasan luas namun dalam persempadanan semula kawasan DUN tidak membabitkan kawasan ini, sebaliknya kawasan luar bandar yang mempunyai jumlah pengundi sedikit,” ujar Wong.

Penambahan 11 kerusi DUN yang majoritinya kawasan luar bandar menurutnya jelas menunjukkan Adenan tidak memahami prinsip sebenar demokrasi dan erti ‘satu nama, satu undi, satu nilai’.

“Rakyat perlukan perubahan tetapi bukan perubahan hanya untuk pilihan raya. Saya fikir rakyat di bandar cukup bijak untuk membezakan perkara ini.

“Bagaimanapun pada masa sama, DAP akan terus memberi penekanan kepada usaha untuk menjelaskan perkara ini kepada rakyat supaya mereka tidak terus ditipu,” katanya.

Sementara penyandang kerusi Pending Violet Yong berkata isu rakyat bukan sekadar isu tempatan tetapi isu negara iaitu polisi kastam yang dikatakan rasis apabila mewajibkan pemilikan 51 peratus Bumiputera dalam syarikat dan isu pendatang asing di Sarawak.

Ia bersesuaian dengan kawasan beliau yang merupakan zon perindustrian awal di negeri ini yang menjadi tarikan penduduk tempatan dan asing mencari pekerjaan.

Beliau turut mempersoalkan kreadibiliti Ketua Menteri yang dikatanya tidak menepati janji lebih-lebih lagi dalam isu penjualan tanah di Batu Kawa walaupun DAP sudah mendapatkan pembeli pada harga lebih mahal.

“DAP menyokong usaha Ketua Menteri Sarawak memansuhkan tol Jambatan Lanang tetapi isu pendidikan masyarakat Cina (UEC), pengisian jawatan kerajaan tanpa mengira bangsa dan isu tender terbuka masih dilakukan separuh jalan,” katanya.

Berbeza bagi Temenggung Lu Kim Yong, yang berpendapat komuniti Cina atau lebih tepat pengundi Cina harus mencari jalan dan cara untuk membalas kebaikan Adenan yang begitu prihatin dengan masalah komuniti itu sejak menjadi ketua menteri.

Katanya apa yang dilakukan oleh Adenan kepada komuniti Cina harus tidak dilihat sebagai usaha remeh sebaliknya kaum itu perlu mencari jalan juga cara untuk menunjukkan rasa terima kasih dan penghargaan.

Menurutnya sebagai ketua masyarakat Cina yang bertanggungjawab di tiga kawasan DUN iaitu Padungan, Pending dan Batu Lintang, tempoh hampir 10 tahun di bawah wakil rakyat pembangkang sudah cukup untuk komuniti di kawasan itu berfikir dua kali menjelang PRN nanti.

“Saya menggesa rakyat Sarawak meliputi Bumiputera dan Cina memberi sokongan penuh kepada Ketua Menteri (Adenan Satem) dan memberi beliau lima tahun lagi untuk memerintah Sarawak.

“Adenan merupakan seorang pemimpin yang mengamalkan prinsip kesederhanaan, prihatin, berkebolehan dan disegani. Harap pada Pilihan Raya Negeri nanti rakyat akan memberi mandat besar kepadanya,” kata Lu.

Mengimbau tempoh hampir 10 tahun pembangkang menguasi Bandar Kuching, Lu berkata pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Cina tidak mendapat geran kerajaan.

“NGO Cina kurang mendapat dana kerajaan berbanding ketika Bandar Kuching di bawah BN, kami terpaksa memohon daripada menteri dan jumlahnya agak sedikit kerana lazimnya menteri terbabit mempunyai kawasan DUN sendiri.

“Persatuan memerlukan dana kerajaan untuk menyokong aktiviti yang dianjurkan untuk komuniti.

“Mungkin daripada mata kasar perkara ini tidak penting tetapi kepada rakyat akar umbi ia sangat bermakna,” kata Lu yang juga presiden Persekutuan Persatuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian, dianggotai lebih 100 ahli bersekutu.

Mengenai pembangunan fizikal di kawasan ini, kedua-dua pemimpin ini bersetuju banyak yang masih perlu dilakukan, terutama sistem jalan raya

dan perparitan selain menjadikan semula Padungan bandar pelancongan dan syurga beli-belah seperti sebelum ini.

Lu berpendapat sistem perparitan perlu dinaik taraf memandangkan populasi bandar raya Kuching semakin bertambah dan banyak pusat komersial serta kawasan perumahan dibangunkan.

Dalam hal ini peranan pihak berkuasa tempatan (PBT) diperlukan dan sudah tentu dana bagi tujuan itu datangnya daripada kerajaan memerintah.

“Apapun terima kasih kepada MBKS dan DBKU yang telah menjadikan bandar raya Kuching bersih dan hijau walaupun masih banyak perlu dilakukan untuk menghijau serta mencantikkan lagi landskapnya,” katanya.

Bagi Wong pula pelan pembangunan bandar raya Kuching Selatan khasnya, perlu disemak semula agar masalah kesesakan lalu lintas, tempat letak kereta dan aspek keselamatan serta kebersihan dapat diatasi.

“Padungan dan Pending bukan mengenai pembangunan tetapi lebih kepada aspek pengurusan. Masalah yang dihadapi Padungan ialah pembangunan bandarnya dilakukan secara tidak terurus,” ujar Wong.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget