BETONG: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Sarawak semalam melahirkan desakan agar Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem tampil menyelesaikan masalah bekalan air bersih di Beting Maro di sini.
Setiausaha PAS Batang Lupar Asri Mostopha berkata, meskipun rakyat di Beting Maro telah memilih kerajaan Barisan Nasional pada pilihan raya yang lepas, namun usaha mereka itu ibarat dinafikan serta dipinggirkan hak untuk menikmati air bersih.
Katanya, hal tersebut menampakkan bahawa kerajaan BN gagal menyediakan fasiliti air bersih dan tekanan air pada kadar yang memuaskan untuk kegunaan rakyat di sana.
“Saya bersama Pengarah Pilihan Raya Zharudin Narudin cuba menghubungi Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi mendapatkan maklumat mengenai masalah dan punca tekanan air rendah serta tidak bersih yang dihadapi oleh penduduk Beting Maro dan di sekitarnya kerana isu air adalah isu yang dihadapi sejak sekian lama.
“Namun apa yang menyedihkan, sehingga kini kami kecewa dan masih lagi menunggu respons daripada pihak berkenaan.
“Pada masa sama, kami juga telah menghantar notifikasi melalui e-mel kepada JKR dan cuba menghubungi pejabat tersebut tetapi masih tidak ada jawapan dan maklum balas,” jelasnya kepada pemberita, semalam.
Justeru katanya, PAS Negeri amat mengharapkan kelantangan Adenan di laman media dalam menyuarakan hak untuk mengambil perhatian dan tindakan segera bagi menangani masalah itu.
Beliau memberitahu, selama ini penduduk terpaksa mendapatkan air sungai untuk kegunaan seharian disebabkan tekanan air yang sangat rendah dan paip air yang bersaiz kecil bagi menampung keperluan lebih 3,000 orang penduduk di Kampung Pusa, di sini.
“Malah, bagi mendapatkan air bersih, penduduk terpaksa mengambil air daripada tapisan 1MDB yang ditempatkan di kawasan tertentu yang nyata tidak mencukupi untuk keperluan penduduk serta tidak praktikal.
“Ada juga di antara mereka terpaksa membeli air mineral untuk tujuan menggantikan bekalan air bersih,” katanya.
Tambahnya, rakyat Beting Maro juga telah bersepakat menerusi Jawatankuasa Khas Bertindak untuk bertemu sendiri dengan Adenan sekiranya masalah ini masih tidak mendapat maklum balas sewajarnya daripada pihak bertanggungjawab sehingga awal Disember ini.
- Borneo Post Online

Post a Comment