Pelancaran kamus itu telah disempurna oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang di Balai Budaya, DBP Cawangan Sarawak di sini.
Dalam ucapannya, Jabu berkata bahasa Iban kini telah diiktiraf sebagai salah satu daripada bahasa ibunda di negeri ini seperti bahasa Mandarin dan Tamil.
Atas pengiktirafan itu, kini bahasa Iban katanya juga dijadikan sebagai salah satu daripada mata pelajaran elektif di sekolah rendah dan menengah selain di peringkat pengajian tinggi.
“Kita amat berterima kasih kepada DBP Cawangan Sarawak yang banyak membantu kita dalam program pengukuhan bahasa Iban.
“Saya yakin penerbitan edisi kedua kamus ini akan membantu para pelajar dan masyarakat secara keseluruhannya untuk lebih memahami akan bahasa dan juga budaya masyarakat Iban,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBP Malaysia, Kamarul Zaman Shaharudin berkata kamus edisi kedua ini merupakan sebahagian daripada projek yang terangkum dalam Pembinaan Kamus Bahasa Sukuan Sarawak yang dilaksanakan oleh DBP Cawangan Sarawak.
Jelasnya, ia adalah memperkukuh dan melestari bahasa sukuan di negeri ini dan telah melalui beberapa peringkat selama lima tahun bermula pada November 2010 sehingga penerbitannya pada November 2015.
Dalam menerbitkan kamus ini, DBP telah melibatkan ramai petugas luar untuk memberi pengisian baharu serta membantu melicinkan proses penyusunan kamus ini.
Kamus ini memuatkan sebanyak 11,530 entri dan 9,710 subentri selain menampilkan ciri-ciri baharu seperti penggunaan warna pada entri, subentri dan contoh ayat dalam bahasa Iban, simbol fonetik berasaskan International Phonetic Alphabet (IPA), kelas kata bagi setiap entri dan contoh penggunaan ayat serta terjemahannya dalam bahasa Melayu.
“Saya percaya dengan adanya pelancaran kamus ini ia dapat memberi semangat dan suntikan baharu kepada para penulis untuk meneroka, menyelidik dan mengkaji etnik Iban yang menjadi suku kaum majoriti di negeri ini.
“Bukan sahaja dari segi bahasa pertuturan, malah adat resam, pakaian, makanan, reka bentuk kediaman yang dimiliki etnik ini juga sangat unik,” katanya.
Jelasnya, wajar sekali kebudayaan dan kesenian etnik Iban didokumentasikan sebagai simpanan masa hadapan untuk tatapan generasi akan datang.
Dalam pada itu, sebagai permulaan, sebanyak 1,000 naskhah kamus akan diterbitkan oleh DBP dan dijual pada harga RM65 senaskhah.
Sebagai tanda sokongan terhadap usaha DBP, Jabu pada pelancaran itu semalam turut membuat tempahan pembelian sebanyak 150 naskhah kamus ini untuk diagihkan kepada sekolah di Betong.
Turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah DBP Datu Dr. Adi Badiozaman Tuah, Pengarah DBP Cawangan Sarawak Dr Hazami Jahari serta lain-lain.-Utusan Borneo
Post a Comment
Click to see the code!
To insert emoticon you must added at least one space before the code.