Jejas nama baik kita

Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan
MIRI: Portal media berpangkalan di United Kingdom, Sarawak Report telah memalukan Sarawak kerana menggunakan nama negeri ini untuk portal mereka yang menyiarkan laporan palsu berhubung tuduhan rasuah, salah laku dan maklumat tidak berintegriti yang tiada kena- mengena dengan Sarawak mahupun rakyat negeri ini.

Menteri Perancangan Sumber yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, Sarawak menghormati kebebasan bersuara namun pihak luar tidak boleh menggunakan nama Sarawak untuk kepentingan agenda mereka.

“Kini nama Sarawak dalam perhatian negara termasuk peringkat antarabangsa atas sebab-sebab salah. Ini kerana portal Sarawak Report tidak berintegriti dan tiada kredibiliti sejak dahulu lagi.

“Kini portal itu menyentuh skandal 1MDB,” katanya melahirkan rasa kesal berhubung isu berkenaan ketika ditemui pada kunjungan Hari Raya Aidilfitri ke kediaman ADUN Lambir, Ripin Lamat di sini malam kelmarin.

Turut hadir isteri beliau dan Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Pembangunan Keluarga, Rosey Yunus yang juga ADUN Bekenu.

Awang Tengah berkata, menggunakan nama Sarawak untuk portal berkenaan juga telah memberi gambaran salah lebih-lebih lagi kesan terhadap budaya negeri ini.

Katanya, rakyat​​ Sarawak pastinya malu dikaitkan dengan laporan tidak tepat serta ‘serangan’ terhadap kerajaan dan Perdana Menteri dengan dakwaan termasuk sindiran salah laku serta rasuah.

Beliau turut menyifatkan portal Internet terbabit sebagai menconteng arang di muka pemimpin negara dan negeri ini.

“Kini mereka terjebak dalam kontroversi ciptaan mereka sendiri dengan laporan yang diubah-ubah,” katanya.

Malah, jelasnya, bekas editor Sarawak Tribune Lester Melanyi yang pernah bekerja untuk Sarawak Report, baru-baru ini menggemparkan negara apabila membuat pengakuan berani mendakwa laporan portal itu berdasarkan maklumat yang diubah untuk menjayakan komplot menggulingkan kerajaan sedia ada.

Awang Tengah berkata, sementara kerajaan negeri menghormati kebebasan bersuara dan kebebasan untuk diri sendiri, maka adalah lebih baik nama Sarawak Report diubah bagi mencerminkan penulis, tetapan dan latar belakang mereka sendiri.

“Saya berpendapat nama ‘Clare Brown Report’ adalah lebih sesuai bagi menggantikan nama Sarawak Report yang berpangkalan di UK.

“Ini kerana portal, kandungan dan perjuangan mereka langsung tidak mencerminkan mengenai Sarawak serta tidak mempeduli budaya dan sensitiviti negeri ini,” katanya.

Sarawak Report mendapat perhatian negara dan antarabangsa dengan laporan menggemparkan berkenaan dakwaan rasuah dan salah laku dalam 1MDB, tetapi pihak berkuasa membidas dengan menganggap ia sebagai ‘serangan’ bermotifkan politik dalam konspirasi untuk menggulingkan Perdana Menteri.

Sementara itu, pihak polis dijangka akan membuat beberapa siri tangkapan terhadap individu berkaitan video pengakuan Lester berhubung skandal 1MDB.

Lester dalam pengakuannya mendakwa menjadi sebahagian pasukan Sarawak Report tetapi kenyataan beliau telah dinafikan Clare Brown.

Lester mencetuskan isu baharu lebih panas dengan dakwaan konspirasi dalam dua video yang telah digambar oleh Ketua Polis Negara sebagai mengejutkan serius dan perlu disiasat dengan teliti.

Lester mendakwa dokumen berkaitan dengan 1MDB telah dipalsu atas arahan Clare Rewcastle-Brown, editor berita portal Sarawak Report untuk menjatuhkan kerajaan dan Najib.

Lebih banyak video dakwaan Lester dijangka dikeluarkan tidak lama lagi.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget