Guan Eng diarah 
bayar RM500,000


Kerana menggelar Jahara sebagai ‘nenek rasis’
PULAU PINANG 3 Julai - Ketua Menteri, Lim Guan Eng hari ini diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi di sini membayar ganti rugi sebanyak RM500,000 kepada Datuk Jahara Hamid kerana memfitnah Ketua Pembangkang negeri itu dengan menggelar beliau sebagai ‘nenek rasis’.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Nordin Hassan yang membuat keputusan itu turut meme­rintahkan Guan Eng membayar kos guaman sebanyak RM40,000 berserta faedah sebanyak lima peratus.

Selain itu, Nordin mengarahkan Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP yang belum di­sahkan jawatannya, menarik balik gelaran terhadap Jahara selain mengeluarkan perintah injunksi menghalangnya daripada me­ngulangi kata-kata fitnah tersebut.

Peguam Datuk Jahaberdeen Mohamed Yunos yang mewakili Jahara ketika dihubungi memberitahu, mahkamah turut memutuskan bahawa apa yang dituduh Guan Eng selaku defendan adalah tidak benar dan jelas dapat dilihat pada nota prosiding persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Selain itu mahkamah turut menyatakan apa yang dikatakan Guan Eng adalah jelas kata-kata yang memfitnah Jahara,” katanya.

Peguam itu berkata, pembela­an Guan Eng terhadap kewajaran (justifikasi) perbuatannya didapati gagal kerana beliau tidak dapat membuktikan dakwaannya sebagai benar dan pembelaannya mengenai ulasan saksama juga tidak dapat diterima.

“Tuntutan balasnya juga gagal kerana artikel itu tidak menyebut namanya atau merujuk kepadanya, sebaliknya ia membabitkan fakta,” kata Jaharberdeen.

Jahara yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Air Tawar sebelum ini memfailkan saman selepas Guan Eng pada 10 Disember 2013 dalam sidang akhbar di luar sidang DUN menggelarkannya sebagai ‘nenek rasis’.

Jahara selaku plaintif turut memohon perintah injunksi bagi menghalang Guan Eng daripada berterusan mengeluarkan kenya­taan fitnah terhadapnya selain mahu perkara berkenaan tidak berulang.

Jahara turut menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan te­ladan serta relif lain yang difikirkan wajar.

Gelaran itu dibuat Guan Eng ke­rana Jahara dikatakan cuba membangkitkan isu perkauman apabila menuduh kerajaan DAP Pulau Pinang hanya mengambil tindakan terhadap peniaga Me­layu.

Guan Eng kemudiannya memohon maaf kepada Jahara tetapi ha­nya untuk gelaran ‘nenek’ namun tetap menyifatkan Jahara sebagai seorang yang rasis.

Jahara bagaimanapun tidak hadir bagi mendengar keputusan itu kerana berada di ibu negara manakala Guan Eng diwakili peguam, Datuk N. Mureli.-Utusan Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget