Kekang ekstremis dengan demokrasi, bukan akta mengarut


Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu menegaskan Putrajaya perlu menggunakan demokrasi dan pendidikan untuk mengekang kegiatan ekstremisme dan bukannya dengan menggunakan "akta yang mengarut".

Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, tidak terdapat keperluan bagi Putrajaya mengenalkan akta baharu, bagi tujuan itu, malah akta sedia ada seperti Akta Hasutan 1948 juga perlu dimansuhkan.

"Akta-akta ini tidak perlu. Kekang keganasan dengan pendidikan dan demokrasi dan sebagainya, tidak perlu akta-akta baharu, akta lama pun mengarut, Akta Hasutan itu mengarut," katanya ketika ditemui pemberita selepas berucap dalam program retreat kepimpinan DAP kebangsaan 2016 di Subang Jaya, Selangor semalam.

Mat Sabu bagaimanapun berkata, Amanah berpendirian menolak keganasan yang mengakibatkan kematian orang awam, seperti yang berlaku di Jakarta, Indonesia baru-baru ini.

"Apa pun yang terlibat dengan orang awam kita tidak bersetuju, di Jakarta, Paris, kita tak bersetuju.

"Kita tidak setuju konsep dia (militan Iraq dan Syria), tetapi negara Islam kita terima, tapi konsep dia, Isis (Negara Islam Iraq dan Syria) yang ditaja itu kita tidak terima. Kami memilih demokrasi dan pilihan raya," katanya kepada pemberita.

Menurut laporan, sekurang-kurangnya 7 orang terbunuh dan cedera dalam siri letupan di kawasan berhampiran sebuah pusat beli-belah di Jakarta.

Ketua Bahagian Hubungan Manusia Polis Republik Indonesia Anton Charliyan berkata beberapa lelaki bersenjata, yang turut membawa bom tangan, melancarkan serangan berhampiran Restoran Starbucks di Sarinah Mall di Jalan MH Thamrin, Jakarta, pada 10.50 pagi.

Pengganas Isis mengakui mereka bertanggungjawab terhadap serangan tersebut.

Putrajaya sebelum ini meluluskan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2015 oleh Dewan Rakyat pada 3 Disember 2015.

Akta berkenaan menerima kritikan banyak pihak kerana didakwa mengambil kuasa Yang di-Pertuan Agong apabila perdana menteri berkuasa mengisytiharkan sesuatu kawasan yang dipercayai memberikan ancaman sebagai kawasan keselamatan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagaimanapun berkata akta berkenaan tidak mempunyai tujuan politik atau untuk memberi kuasa mutlak kepada perdana menteri.

Sebaliknya, beliau berkata akta berkenaan bertujuan memperkukuhkan penguatkuasaan dari segi menjaga keselamatan rakyat negara ini secara keseluruhannya.

Selepas memansuhkan Akta Dalam Negeri (ISA) 1969, pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memperkenalkan beberapa siri akta baru bagi mengekang kegiatan ekstremisme.

Sebelum Akta MKN, antara akta-akta yang diluluskan Putrajaya bagi tujuan itu adalah Akta Pencegahan Jenayah (Poca) 2013, Akta Pencegahan Keganasan (POTA) 2015, dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) 2012.

Selain itu, Putrajaya turut mengadakan sidang khas Dewan Rakyat bagi membentangkan Kertas Putih mengutuk kegiatan keganasan Isis.

- The Malaysian Insider

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget