Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengesahkan hari ini, tiada usul menolak kepimpinan Datuk Seri Najib Razak yang akan dibahaskan pada Perhimpunan Agung Umno yang dijadualkan Disember depan.
Naib presiden Umno itu yang bertanggungjawab menjaga jawatankuasa usul berkata, sebanyak 132 usul dibawa yang menyatakan sokongan kepada Najib selaku presiden Umno.
"Saya yang menjaga jawatankuasa usul. Saya boleh sahkan, tiada usul menolak kepimpinan Najib dibawa ke perhimpuan agung bulan depan," kata Hishammuddin pada sidang media di lobi Parlimen.
Najib ketika ini berdepan kontroversi dalam isu membabitkan syarikat pelaburan sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan derma peribadi RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaunnya.
Beberapa pemimpin akar umbi juga lantang mengkritik Najib, terutama selepas tindakan beliau merombak Kabinet Julai lalu yang menyaksikan pengkritiknya, Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal tersingkir.
Terbaru, beberapa Umno cawangan dalam Bahagian Sepang mendesak supaya Najib meletak jawatan kerana hilang kepercayaan terhadapnya dan kredibilitinya yang dipersoalkan.
Selain itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang sebelum ini penyokong kuatnya tetapi kini bertukar menjadi penentang utamanya, turut menggesa supaya Najib meletak jawatan.
Dr Mahathir mendakwa Najib terlibat dalam salahguna kuasa berkaitan 1MDB, selain membidas gaya boros kepimpinan Najib.
Sementara itu, Hishammuddin juga berkata, jumlah usul yang diluluskan peringkat bahagian adalah 738, dan sebanyak 170 daripada keseluruhan 191 bahagian sudah menghantar usul mereka.
Daripada jumlah tersebut, 513 usul perlu tindakan lanjut dan 225 yang berbentuk pengesahan atau kenyataan, tidak dibahaskan.
Pada 24 November, 1 Konvensyen Pemerkasaan Agenda Ummah anjuran Jawatankuasa Penyediaan Usul Majlis Tertinggi (MT) akan diadakan bagi membincangkan semua usul bahagian Umno seluruh negara.
Konvensyen tersebut akan menjadi platform untuk membincangkan usul yang akan dibawa terdiri daripada 4 kluster utama iaitu politik, ekonomi, pendidikan dan agama. –The Malaysian Insider
Post a Comment