Adenan telah arah Fatimah kunjungi keluarga jurutera yang dipancung militan Abu Sayyaf
KUCHING: Kerajaan negeri akan menghulurkan bantuan kepada keluarga Bernard Then yang dilaporkan dipancung oleh kumpulan militan di Filipina.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata beliau telah mengarahkan Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah mengunjungi keluarga jurutera berkenaan dalam perkara terbabit.
“Apa yang berlaku di Filipina ini adalah sangat tragik dan dianggap sebagai membunuh.
“Kita di pihak kerajaan negeri akan berhubung dengan ahli keluarga mangsa untuk bantuan dan saya serahkan kepada Datuk Fatimah Abdullah (Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga) untuk bertemu ahli keluarganya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Hari Perkhidmatan Awam 2015 yang diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, semalam.
Adenan turut menasihati rakyat Sarawak agar lebih berhati-hati apabila melawat Sabah khasnya yang berdekatan dengan selatan Filipina.
Terdahulu sebelum menyampaikan ucapannya pada majlis berkenaan, beliau memohon kepada semua hadirin yang terdiri daripada 7,500 kakitangan awam untuk bertafakur selama seminit untuk mengingati Then.
“Beliau merupakan warga Sarawak dan kita harus memberi penghormatan terakhir kepadanya,” katanya.
Media antarabangsa melaporkan seorang jurutera, Bernard Then, 39, dipenggal kepalanya selepas sekumpulan lelaki bersenjata menculik mangsa di sebuah restoran makanan laut di Sandakan, Sabah pada 15 Mei lalu.
Dia dilaporkan dipenggal di lokasi terpencil yang menjadi kubu kuat militan Abu Sayyaf di selatan Filipina.
Bernard yang berasal dari Sarawak diculik kumpulan militan tersebut bersama pengurus restoran, Thein Nyuk Fun, 50, bagaimanapun Thien dibebaskan pada 8 November lepas.-Utusan Borneo
Post a Comment
Click to see the code!
To insert emoticon you must added at least one space before the code.