Tidak serah diri, polis buru Papa Gomo

Penulis blog lain juga diburu berhubung penulisan yang boleh cetuskan isu perkauman




KUALA LUMPUR: Polis sedang memburu penulis blog kontroversi, Papa Gomo dan beberapa penulis blog lain berhubung penulisan yang dilihat boleh mencetuskan isu perkauman dalam insiden pergaduhan di Plaza Low Yat.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis akan mengambil tindakan jika penulis blog itu tidak menyerah diri.
“Saya suruh serah diri tetapi dia (Papa Gomo) tidak serah diri lagi, jadi polis akan cari dan akan tangkap serta beberapa orang lagi.
“Saya tidak perlu sebut nama…saya rasa semua tahu yang ghairah sangat berucap memberi segala ucapan berbaur hasutan dan memberi semangat kepada orang yang melakukan rusuhan dan sebagainya itu bersedialah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis di Mes Pegawai Kanan di Bukit Aman, di sini, semalam.
Khalid berkata polis sedang mengesan dan mengenal pasti mereka yang terlibat dalam pergaduhan di Plaza Low Yat tempoh hari.
“Masih ada individu tidak bertanggungjawab yang cuba menyalahgunakan media sosial dengan mengambil gambar-gambar insiden lain dan kaitkan dengan insiden yang berlaku di Plaza Low Yat.
“Mereka (individu tidak bertanggungjawab) cuba mencetuskan kemarahan pihak lain dan mengelirukan orang ramai…janganlah memanaskan lagi keadaan dan kita akan mengesan mereka yang tidak bertanggungjawab ini dan ambil tindakan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Khalid berkata polis akan memburu individu yang menggodam laman rasmi Facebook dan Twitter Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Walaupun ia telah selesai dan kembali seperti sedia kala, polis akan cari mereka (penggodam) walaupun ia mengambil sedikit masa untuk mengesan tuan punya Facebook dan Twitter,” katanya.
Kelmarin, laman sosial Facebook dan Twitter PDRM digodam pihak tidak bertanggungjawab yang memper-kenalkan diri mereka sebagai #AnonGhost pada jam  2.20 petang.
Penggodam berkenaan turut memperkenal diri mereka sebagai ‘We are :Mauritania Attacker – AnonxoxTn – StingerByte – Mr.Domoz – Th3Falcon – HusseiN98D – Dr’SaMiM-008 – n0name-haxor – hAxOr tr0jAn – BillGate – Mr.Ajword – Extazy007 – Psyco_Hacker – Black Cracker – Virusa Worm – Donnazmi – X-Wanted – De_Reb0rNz – Tunisian Cracker – L’APoca-Dz – Psyf3r – Vortex’.
Sementara itu, Khalid berkata polis telah merakam percakapan beberapa individu berhubung dakwaan tiga pegawai kanan Bank Negara Malaysia (BNM) membocorkan maklumat perbankan kepada Wall Street Journal (WSJ).
Beliau berkata polis telah menyiasat dan sedang me-ngumpul maklumat.
“Kesemua yang kita patut siasat, kita akan siasat termasuk bank swasta, bank negara, ahli-ahli Task Force yang sedia ada sekarang ini pun,” katanya.
Pengendali portal Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin menerbitkan artikel bertajuk ‘The Bank Negara Scandal, Yet Again’ yang mengan-dungi dakwaan itu.
WSJ baru-baru ini melaporkan para penyiasat Malaysia didakwa telah mengesan pergerakan wang hampir AS$700 juta (RM2.6 bilion) ke dalam akaun yang dikata-kan milik peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ekoran itu, satu pasukan petugas khas telah ditubuh bagi menyiasat perkara ber-kenaan. — Bernama

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget