SUPP gesa KM isytihar 22 Julai sebagai Hari Sarawak



DEMI SARAWAK: Para peserta SUPP Sibu semasa menyertai perhimpunan yang dianjurkan oleh S4S di Sibu, semalam.

SIBU: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) menggesa Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem agar mengisytiharkan 22 Julai sebagai Hari Sarawak.

Ini kerana untuk memperingati 22 Julai adalah Hari Kemerdekaan Sarawak yang harus diingati rakyat negeri ini khususnya generasi muda kerana ramai tidak mengetahui hari bersejarah tersebut.

Jurucakap penganjur kempen, Michael Tiang menjelaskan pada 22 Julai 1963, Sarawak mencapai status merdeka kerana penjajah British telah mengembalikan kuasa pentadbirannya kepada orang Sarawak sendiri.

Kempen ‘I Am Sarawakian’ anjuran SUPP Sibu diadakan di sini semalam bagi memperingati Hari Kemerdekaan Sarawak yang jatuh pada 22 Julai.

Sebagai sebahagian daripada kempen itu, SUPP Sibu menghantar kontinjen menghadiri perhimpunan sama dianjur Sarawak for Sarawakians (S4S) di Dataran Bandar Sibu, semalam.

Peserta SUPP Sibu tidak membawa logo parti semasa perhimpunan itu.

“SUPP sangat bersetuju bahawa perhimpunan ini sangat bermakna kerana penganjurnya (S4S) telah memupuk kesedaran serta mempromosi sejarah Sarawak dalam kalangan penduduk Sarawak.

“Oleh itu, setiap rakyat Sarawak harus mengingati tanggal 22 Julai dan menyambut Hari Kemerdekaan Sarawak pada setiap tahun,” jelasnya.

Katanya, SUPP sebagai sebuah parti politik berpangkalan di Sarawak yang dibentuk 100 peratus rakyat Sarawak menggunakan kedudukan parti memerintah untuk mencadang kepada Adenan agar mengisytiharkan 22 Julai sebagai Hari Sarawak supaya kerajaan Sarawak dapat menganjur majlis atau program Hari Kemerdekaan Sarawak serta meraikan hari penting ini bersama rakyat setiap tahun.

Tiang berkata, fakta sejarah tersebut (22 Julai) tidak pernah diajar di sekolah.

“Ini menunjukkan bahawa sukatan pelajaran direka oleh pihak berkuasa pendidikan persekutuan telah gagal membentangkan sejarah betul dan lengkap berkenaan dengan sejarah Sarawak.

“Apatah lagi Sarawak mengasas Persekutuan Malaysia bersama-sama Singapura, Sabah dan Persekutuan Tanah Melayu sebagai negara merdeka dan rakan kongsi,” katanya.

Tiang memberitahu, kemerdekaan Sarawak pada 22 Julai penting kerana kemerdekaan ditentu dengan kelayakan Sarawak memiliki banyak kuasa autonomi di bawah Persekutuan Malaysia.

“Kuasa autonomi akan dibela dan ditegak setiap generasi rakyat Sarawak,” tambahnya.

- Borneo Post Online



Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget