SKMM BERTINDAK PROAKTIF BANTERAS LAMAN WEB SEBAR MAKLUMAT TIDAK SAH


KUALA LUMPUR: Tindakan menyekat laman sesawang The Sarawak Report adalah tindakan proaktif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap laman sesawang yang dianggap boleh mengancam  ketenteraman negara kerana menyebarkan maklumat yang tidak disahkan.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata SKMM sepatutnya menggunakan kaedah preventif sama dalam menangani perkara-perkara lain yang boleh menimbulkan keresahan rakyat melalui maklumat-maklumat yang tidak disahkan.
“Maklumat tidak sah sama seperti virus yang boleh membunuh. SKMM sepatutnya lebih tegas dalam menanganinya,” katanya kepada Bernama di sini, semalam.
Beliau berkata demikan bagi mengulas tindakan SKMM kelmarin menyekat laman sesawang The Sarawak Reporthttp://www.sarawakreport.orgkerana didapati boleh mengganggu-gugat keselamatan negara berikutan aduan orang ramai yang mendakwa laman sesawang itu memaparkan kandungan yang masih tidak dapat dipastikan kesahihannya.
Sekatan terhadap laman sesawang itu dibuat mengikut Seksyen 211 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Tempoh sekatan terhadap laman sesawang berkenaan berkuat kuasa untuk sementara waktu sehingga tamatnya siasatan oleh Pasukan Petugas Khas.
Mengambil contoh pergaduhan di Plaza Lowyat pada 12 Julai lepas, Ahmad Shabery berkata insiden itu contoh terkini penggunaan media internet yang terlalu bebas dan mengakibatkan kesan negatif kepada rakyat dan negara.
Insiden itu menyebabkan 27 individu ditahan termasuk penulis blog Papagomo atau nama sebenarnya Wan Mohd Azri Wan Deris, dan kesemua mereka dilepaskan dengan jaminan polis.
Pada 11 Julai lepaas, pergaduhan berlaku di plaza berkenaan selepas seorang remaja lelaki berusia 22 tahun ditangkap pekerja sebuah kedai menjual alat komunikasi kerana didakwa mencuri sebuah telefon bimbit bernilai RM800.
Keesokannya, pihak-pihak tidak bertanggungjawab menggembar-gemburkan keadaan dengan menghantar maklumat berbaur perkauman menerusi media sosial sehingga mencetuskan pergaduhan.  — Bernama

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget