MIRI: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) menyambut baik keputusan polis dan kerajaan negeri yang memberi kelulusan kepada penganjur mengadakan perarakan di Padang Majlis Bandaraya Miri (MBM) pada 19 Julai ini sebagai sambutan Hari Kemerdekaan Sarawak daripada pemerintahan British pada 22 Julai 1963.
Setiausaha Agungnya Datuk Sebastian Ting berharap kelulusan dapat diberi untuk perarakan sama di Bintulu dan Sibu pada Ahad ini serta di Kuching pada 22 Julai ini.
“Saya berasa amat gembira kerana akhirnya pihak penganjur diberi kebenaran oleh polis di Miri untuk mengadakan perarakan mini di Padang MBM.
“Bagi SUPP dan rakyat Sarawak, saya ingin merakam berbanyak terima kasih kepada polis dan kerajaan kerana mempertimbang hasrat dan perasaan rakyat Sarawak yang ingin meraikan detik indah dan bersejarah ini,” katanya kepada Utusan Borneo ketika diminta mengulas kelulusan yang diberikan kepada penganjur sempena sambutan Hari Kemerdekaan Sarawak Ke-52 tahun ini.
Terdahulu, permohonan untuk mendapatkan permit bagi mengadakan perarakan itu oleh beberapa penganjur di Sarawak dibatalkan, justeru SUPP pada Rabu lalu telah mengeluarkan satu kenyataan menggesa kerajaan mempertimbangkan semula permohonan tersebut.
Menurut Sebastian, rakyat Sarawak berharap dapat mengada aktiviti seperti itu untuk memperingati tarikh 22 Julai 1963, yang selama ini tidak pernah diuar-uar secara meluas kepada umum mengenai kemerdekaan Sarawak daripada pemerintahan British.
“SUPP sebuah parti politik yang membantu memperjuangkan kemerdekaan Sarawak, berasa amat gembira kerana semakin ramai sedar akan tarikh bersejarah itu.
“Justeru ia merupakan tanggungjawab semua pihak termasuk SUPP serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memberitahu lebih ramai orang terutama rakyat Sarawak tentang peristiwa bersejarah itu,” katanya.
Dalam pada itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Miri Superintenden Stanley Jonathan Ringgit dalam surat kelulusan diberikan kepada pihak penganjur menggariskan lapan syarat utama harus dipatuhi pihak penganjur semasa perarakan tersebut.
Perkara pertama ditegaskan adalah tidak menjejaskan keamanan dan ketenteraman awam selain tidak dibenar membawa atau mempamer banting menyentuh sensitiviti kaum, agama serta parti. -Borneo Post.

Post a Comment