Perarakan kemerdekaan Sarawak lebih kepada emosi


Tiada keperluan berarak, Sarawak dalam keadaan baik  di bawah Perlembagaan Persekutuan: Abang Johari

KUCHING:  Tindakan se-gelintir pihak yang mahu mengadakan perarakan sempena memperingati Hari Kemerdekaan Sarawak daripada British disifatkan lebih kepada emosi dalam situasi berkenaan.
Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, tidak ada keperluan untuk menjadikan perarakan sebagai pendekatan memperingati sambutan berkenaan kerana negeri ini juga berada dalam keadaan baik di bawah tadbir urus Perlembagaan Persekutuan.
“Mungkin adalah tersalah faham atau tanggapan kenapa kita menyambut Hari Kemerdekaan Sarawak pada 22 Julai di mana terdapat elemen tertentu daripada pihak tertentu mahu mengeksploitasi dengan cuba menanam emosi tertentu.
“Mereka ini hanya meng-ambil kesempatan daripada mereka yang beremosi dan mengambil peluang ini untuk mewujudkan sesuatu yang tidak wajar.
“Bagaimanapun saya percaya, rakyat Sarawak tahu apa yang mereka patut buat,” katanya ketika ditemui pemberita semasa rumah terbuka beliau di Dewan Bahasa dan Pustaka di sini, Jumaat lepas.
Tambahnya yang juga Menteri Perumahan, kini segala hak rakyat Sarawak di bawah Perlembagaan Persekutuan masih dilindungi termasuk dari segi kemasukan pelawat ke negeri ini atau imigresen yang masih dilaksanakan selain kebebasan agama yang jelas.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai tindakan Sarawak For Sarawakian (S4S) yang memohon mengadakan perarakan pada hari ini (19 Julai) sempena menyambut Hari Kemerdekaan Sarawak daripada British, yakni pada 22 Julai 1963.
Sementara itu Menteri Muda Kesihatan Awam Datuk Dr Jerip Susil ketika ditemui pada majlis yang sama menjelaskan, beliau percaya kumpulan berkenaan sudah bersedia sejak awal dan berharap tidak akan melakukan perkara di luar kawalan.
Katanya rakyat Sarawak lebih beradab dan lebih bertanggungjawab dari segi gangguan kepada awam.
“Saya percaya mereka sudah bersedia dan berharap tidak ada perkara tidak diingini namun kita sedia maklum bahawa pihak polis telah mengeluarkan kenyata-an bahawa tidak dibenarkan perarakan.
“Ini kerana kita khuatir berlaku perkara yang mungkin di luar kawalan dan dengan penyertaan yang terlalu ramai kita tidak dapat menjangka apa yang berlaku, sebab itu polis ada sebab menghalang permit perarakan mereka,” tegasnya.
Mengenai majlis rumah terbuka yang diadakan itu, Abang Johari berkata di Sarawak majlis rumah terbuka yang diadakan sempena perayaan mempunyai keunikan tersendiri kerana dihadiri masyarakat berbilang kaum dan kepercayaan.
“Ini yang dikatakan Ketua Menteri kita bahawa kita harus mempertahankan budaya perpaduan yang terdapat di Sarawak, yang mana kita menolak pandangan melampau datang ke Sarawak.
“Ia menjadi platform kepada kita memupuk semangat setia kawan antara satu sama lain dalam membangunkan negeri dengan lebih tersusun dan sempurna,” kata Abang Johari sambil memberitahu bahawa meskipun ekonomi tidak menentu tetapi rakyat dapat merayakan sambutan dengan penuh kesederhanaan tetapi meriah.-Utusan Borneo


Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget