PAS Bintulu: Kerajaan BN tiada perikemanusiaan



Kenyataan Media Dewan Pemuda PAS Kawasan Bintulu

7hb Julai 2015 bersamaan 20 Ramadhan 1436H

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum w.b.t

“Pulangkan kegembiraan Ramadhan dan Aidilfitri Rakyat Marhaen”

Dewan Pemuda PAS Kawasan Bintulu (DPPkB) melahirkan rasa kecewa dan terkejut dengan pendedahan media Wall Street Journal (WSJ) dan Sarawak Report (SR) berkenaan kemungkinan penyelewengan pengurusan kewangan Yayasan 1MdB. 

Tambahan pula pendedahan ini dibuat hanya beberapa hari selepas kenaikkan harga bahanapi Petrol dan Diesel diseluruh Negara.

Kenaikkan Bahanapi Petrol dan Diesel

Rakyat kini semakin terhimpit dengan kos sara hidup yang naik berlipat ganda, akibat kegagalan kerajaan Barisan Nasional (BN) membendung kadar inflasi, menyediakan peluang pekerjaan yang bersesuaian serta menghapuskan monopoli ekonomi dikalangan kroni-kroni politik parti kerajaan. 

Lebih buruk lagi, segala fakta-fakta ini dengan sengaja diabaikan dan kerajaan BN terus ‘komited’ tanpa perikemanusiaan untuk menaikkan harga Petrol dan Diesel. Kos sara hidup di Bintulu dan Sarawak terus naik berlipat ganda. 

Petrol dan Diesel digunakan secara meluas untuk pengangkutan individu, keluarga dan barang-barang dagang. Di sesetengah kawasan, Petrol dan Diesel digunakan untuk menjana tenaga elektrik generator. 

Hingga hari ini, Bintulu terus mengungguli kumpulan teratas dari sudut kos sara hidup yang tinggi. Alangkah malangnya jika perkara ini dilupakan oleh ahli-ahli Yang Berhormat di DUN dan Parlimen sedangkan Sarawak mempunyai suara terbanyak di Parlimen. 

Harus diingat bahawa rakyat Sarawak dan Bintulu khususnya tidak punya banyak pilihan melainkan menolak wakil rakyat yang tidak berfungsi membela nasib mereka pada Pilihanraya Negeri yang akan datang.

Pemuda PAS Bintulu juga mencadangkan agar kenaikkan harga Petrol dan Diesel ditangguhkan bagi menghormati sensitiviti rakyat yang sedang bersiap sedia menyambut Aidilfitri. 

Adalah tidak wajar sama sekali bagi mana-mana pihak cuba memainkan perasaan rakyat dengan mengeluarkan cadangan ‘separuh masak’ termasuklah seruan jangan pulang ke kampung halaman. 

Cadangan sebegini meletakkan rakyat sebagai ‘punching bag’ bagi setiap masalah yang dihadapi Negara, akibat pengurusan kewangan yang tidak efisien. 

Ketirisan dana awam melalui 1MDB

Pemuda PAS Bintulu ingin melahirkan kebimbangan selepas satu demi satu transaksi 1MdB yang meragukan yang dilaporkan. Pendedahan WSJ hanyalah menambahkan kerungsingan rakyat akan kredibiliti dan kemampuan YAB Perdana Menteri mengurus tadbir Negara Malaysia tercinta. 

Sehingga hari ini, YAB Perdana Menteri belum mampu menyatakan komitmen untuk membuka pintu siasatan seluas-luasnya. Pemuda PAS Bintulu menyokong penuh saranan YBhg Dato Tuan Guru Mursyidul Am, Prof. Dr Haron Din supaya dakwaan ini disiasat segera termasuklah dengan membekukan akaun yang dimaksudkan dan memanggil YAB Perdana Menteri untuk siasatan. 

Bagi membolehkan siasatan yang adil berlaku, Pemuda PAS Bintulu mencadangkan YAB Perdana Menteri diberi cuti rehat sehinggalah siasatan selesai. Pada masa yang sama, Pemuda PAS Bintuli ingin mengingatkan agar YAB Ketua Menteri Sarawak agar memastikan tidak ada ketirisan dana awam berlaku di negeri ini. 

Sokongan tidak berbelah bahagi YAB KM Sarawak kepada YAB Perdana Menteri menimbulkan tanda tanya adakah beliau tidak sedar bahawa rakyat kian terhimpit saban hari? Rakyat Bintulu tidak akan ‘kenyang’ dengan sokongan YAB KM semata-mata. 

Sebaliknya YAB KM mestilah memastikan jentera kerajaan negeri efisien dan telus membangunkan negeri Sarawak. Jangan pula semangat ini bermusim, yakni hanya kerana Pilihan Raya negeri semakin hampir.

Terima kasih,

Fiderus Hussaini
Ketua Pemuda PAS Kawasan Bintulu

-SarawakLIVE

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget