Malaysia-Britain sedia kerjasama tangani Claire Rewcastle Brown

Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR 25 Julai – Hubungan dua hala dalam bentuk pertukaran maklumat sudah sedia terjalin antara Malaysia dan Britain, jika unsur-unsur jenayah didapati dilakukan Pengarang Sarawak Report, Claire Rewcastle Brown.

Menteri Dalam Ne­geri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu bagaimanapun bergantung kepada siasatan muk­tamad Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, Kementerian Dalam Negeri juga akan berurusan secara rasmi melalui Wisma Putra dengan kerajaan negara tersebut jika terdapat prima facie bagi tujuan tindakan perundangan selanjutnya.
“Sebagaimana prinsip kedaulatan yang dihormati antara negara, sudah pasti pihak Britain tidak meres­tui mana-mana warganegaranya mencampuri urusan dalaman negara lain.

“Biarpun kebebasan pendapat diraikan di Malaysia, namun, sebarang maklumat yang dipinda dan diwujudkan tidak boleh diterima. Apatah lagi jika paparan berita dalam talian oleh Claire Rewcastle Brown mempunyai niat jahat,” katanya kepada Mingguan Ma­laysia menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) hari ini.

Beliau diminta mengulas kerjasama Malaysia dengan Uni­ted Kingdom dalam menangani isu Brown yang didapati cuba mencampuri urusan dalaman negara ini.

Beberapa pihak sebelum ini telah membuat laporan polis terhadap portal Sarawak Report kerana dipercayai cuba memfitnah dan menjatuhkan reputasi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak termasuk didakwa memalsukan dokumen yang membawa kepada banyak pendedahan tentang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bekas Pengarangnya, Lester Me­­lanyi pula dalam pengakuan melalui laman blog, lestermelanyi.blogspot.com mendedahkan beliau menerima bayaran RM2,975 (500 pound sterling) seminggu bagi memalsukan pelbagai dokumen sebelum disiarkan di laman portal itu bertujuan menjejaskan reputasi Perdana Menteri termasuk mengaitkannya dengan isu dana 1MDB.

Melanyi yang juga bekas Pengarang Berita Sarawak Tribune mendakwa bayaran itu diterimanya daripada Brown yang merupakan pengasas dan pengendali Sarawak Report, berpangkalan di London, United Kingdom.

Malah, beliau menyifatkan ba­yaran itu sebagai ganjaran untuknya dalam membantu komplot menjatuhkan Perdana Menteri dan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Pada 19 Julai lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan menyekat laman Sarawak Report kerana laporan kandungan portal itu yang boleh mengganggu gugat kestabilan negara.

Menurut SKMM, tindakan itu dilakukan setelah menerima maklumat dan aduan daripada orang ramai apabila laman sesawang www.sarawakreport.org memaparkan kan­­dungan yang masih tidak dapat dipastikan kesahihannya dan sedang dalam siasatan. -Utusan Online.

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget