Adenan lakukan pecah tanah Jambatan Long Lama, 30 Julai


MIRI: Jambatan paling ditunggu-tunggu selama ini menghubungkan pekan kecil Long Lama dengan kawasan Tutoh dan Apoh serta sekitarnya bakal menjadi kenyataan selepas perasmian pecah tanah projek mega itu pada 30 Julai ini.
Majlis pecah tanah bagi projek pembinaan jambatan tersebut dijangka dilakukan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau berkata penduduk di Baram sudah menunggu begitu lama dan amat menanti-nanti jambatan tersebut dibina.
Ketika ini, penduduk di kawasan berkenaan bergantung kepada perkhidmatan feri menyeberangi Sungai Baram.
“Sebagai wakil rakyat di kawasan berkenaan, saya acap kali ditanya oleh penduduk di Baram sejak 2011, bilakah jambatan tersebut dibina.
“Kini di bawah pentadbiran Ketua Menteri baharu, soalan-soalan mengenai jambatan tersebut akhirnya diberi perhatian dan terjawab,” kata Dennis ketika dihubungi semalam.
Menurut Dennis, PBB Telang Usan amat berterima kasih kepada Adenan kerana akhirnya meluluskan permintaan mereka membina jambatan yang sekali gus menjadi penghubung dengan Miri.
Beliau yakin apabila jambatan dianggarkan bernilai RM100 juta itu siap, ia akan membantu melonjakkan ekonomi penduduk di samping industri pelancongan, sosial dan standard hidup penduduk di Baram.
Dennis berkata Barisan Nasional (BN) telah melakukan yang terbaik dan bekerja keras membantu mengurangkan beban kehidupan penduduk khususnya di kawasan luar bandar.
“Malah di bawah pentadbiran Adenan, rakyat di Baram yang sekian lama menyeberangi Sungai Baram menggunakan perkhidmatan feri dengan caj RM15, kini sudah mulai menikmati kemudahan tersebut dengan kadar RM1 sahaja.
“Bagi penduduk di Baram, ini merupakan satu kelegaan dan bantuan yang amat besar, justeru wajar bagi kita di Baram menyatakan terima kasih kepada Adenan kerana mengurangkan beban rakyat,” jelasnya.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget