#PRNSarawak: Tolak calon cuba mengelirukan rakyat


MIRI: Penduduk Tinjar dan Lapok diingatkan agar menolak calon Pilihan Raya Negeri (PRN) yang mengelirukan dan mendakwa konon bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) untuk meraih undi.

Tuai Rumah Gansa Pagon dari Sungai Bok, Lapok berkata terdapat ahli politik bukan daripada parti komponen BN kini sedang aktif mengadakan pertemuan dengan rakyat dan mendakwa dirinya adalah calon BN.

Katanya, tindakan ahli politik itu hanya mengelirukan rakyat di sini kerana beliau sekarang bukan mewakili mana-mana parti komponen BN sama ada Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Beliau merujuk kepada penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Marudi Datuk Sylvester Entri Muran.

Gansa berkata, sebelum ini Entri pernah menganggotai Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) kemudian SPDP, BN PLUS diikuti Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS).

“Lima tahun sekali beliau menubuhkan parti baharu. Saya tidak hairan selepas TERAS dia akan menubuhkan parti politik lain.

“Sikap ini hanya merugikan rakyat kerana dia gagal fokus terhadap tanggungjawab membawa pembangunan secara saksama,” katanya ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra Hari Krismas di rumahnya di Lapok.

Majlis tersebut dihadiri calon SPDP bagi kawasan Marudi, Datu Dr Penguang Manggil.

Gansa menambah, penduduk sentiasa menyokong BN untuk meneruskan kesinambungan pembangunan namun berharap pucuk pimpinan mendengar permintaan rakyat di peringkat akar umbi.

“Sebagai contoh, kami di Lapok dan Tinjar memerlukan seorang penghulu yang benar-benar arif mengenai adat istiadat bukannya penghulu dipilih berdasarkan latar belakang politik tetapi buta soal adat,” katanya.

Tuai Rumah Min berkata, rakyat perlu meneliti semula tahap pembangunan dan prestasi wakil rakyat mereka sebelum ini dan membuat keputusan bijak untuk memilih calon sebagai wakil mereka pada masa depan.

“Pada pandangan saya, memadailah 20 tahun atau empat penggal kita di bawah Entri. Saya tidak nafikan dia ada membawa pembangunan namun pengagihannya tidak saksama dan menimbulkan banyak persoalan,” katanya.

Menurut Min, mereka sudah tidak percaya dan yakin dengan Entri kerana amalan politiknya banyak memecahbelahkan penduduk di rumah panjang.

“Sehubungan itu penduduk di sini jangan lagi mudah diracuni, kita sudah tahu apa berlaku dalam tempoh 20 tahun. Cukup-cukuplah kita menderita, jadikan tempoh itu sebagai pengajaran,” katanya.

Sementara itu, Penguang turut meluangkan masa melawat komuniti Berawan di Rumah Meran, Loagan Bunut.

Beliau turut meyampaikan geran daripada SPDP iaitu RM10,000 untuk Rumah Gansa, RM20,000 (Rumah Meran) dan geran untuk membaik pulih rumah panjang 26 pintu Rumah Edward Kantan (RM5,500).-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget