KUALA LUMPUR 19 November- Pendirian Kumpulan Kerja Penahanan Arbitrari Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa saudara Anwar Ibrahim adalah mangsa tahanan politik, telah mencalarkan kewibawaan Datuk Seri Najib Razak.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pengisytiharan itu adalah memalukan terutama kepada Perdana Menteri dan kerajaan Barisan Nasional (BN).
“Pengisytiharan ini adalah berdasarkan penilaian Kumpulan Kerja tersebut yang mendapati Anwar telah dipenjarakan secara haram setelah melalui satu perbicaraan yang tidak adil dan tidak menghormati elemen-elemen asas perundangan.
“Oleh kerana Perdana Menteri gemar untuk memberikan ceramah kepada masyarakat antarabangsa berkenaan kesederhanaan dan kedaulatan undang-undang, pendirian PBB ini telah mencalar kewibawaannya,” kata Nik dalam kenyataan media.
Katanya, kecaman terhadap pemenjaraan Anwar semakin kuat di peringkat antarabangsa seperti Australia dan Amerika Syarikat yang menyuarakan kebimbangan terhadap layanan kepada Ketua Umum KEADILAN itu.
“selain itu terdapat juga pihak-pihak NGO seperti Amnesty International dan tokoh agamawan seperti Syeikh Yusuf Qardawi yang turut menyuarakan kerisauan.
“Sekarang ini ramai rakyat Malaysia dan komuniti antarabangsa yang berpendapat tegas bahawa perbicaraan Anwar hanyalah sandiwara pihak kerajaan dan sememangnya tidak punyai asas keadilan,” ujarnya.
Beliau menggesa negara-negara yang mempunyai hubungan baik dengan Malaysia supaya mengiktiraf pendirian PBB terhadap pemenjaraan Anwar.
“Tindakan ini penting bukan sahaja kerana beliau telah menjadi mangsa tahanan politik, tetapi beliau juga memerlukan rawatan pakar dengan kadar segera oleh kerana kesihatan yang semakin teruk,” katanya.-Keadilan Daily
Post a Comment
Click to see the code!
To insert emoticon you must added at least one space before the code.