SKRANG, Isnin - Tindakan kerajaan
mempromosi usaha penyukatan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) dalam kalangan
pemiliknya sekarang ini bukanlah bertujuan untuk merampas tanah mereka. Usaha
itu sebaliknya bertujuan untuk mengiktiraf tanah NCR penduduk dengan memberikan
surat hak milik yang kekal kepada mereka, kata Ahli Dewan Undangan Negeri
(ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa. "Pengiktirafan ini secara
tidak langsung membolehkan penduduk mengusahakan tanah NCR masing- masing
dengan tanaman komersial seperti kelapa sawit, lada dan koko sebagai sumber
ekonomi," katanya.
"Bagaimanapun jika tanah mereka diambil alih bagi
tujuan pembangunan maka setiap pemiliknya akan dibayar pampasan mengikut harga
pasaran tanah semasa daripada pihak kerajaan," katanya. Rayong berkata
demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Pecah Tanah Jambatan Gantung
Baharu yang berlangsung di Rumah Anggang Isang, Nanga Mejong di Skrang. Berhubung
perkara pembinaan jambatan gantung baharu bagi Rumah Anggang, Nanga
Mejong, beliau berharap kemudahan tersebut dapat disiapkan oleh kontraktornya
lebih awal berbanding jadual asal.
"Jambatan asalnya telah rosak
berhubung kejadian banjir besar di sini pada 31 Februari lepas. Atas sebab ini
saya berharap agar kontraktor dapat menyiapkan jambatan ini dalam masa tiga
bulan berbanding tempoh asalnya iaitu enam bulan," kata beliau. Rayong
menerusi ucapannya juga mengumumkan bahawa beliau tetap mempertahankan kerusi
DUN Engkilili di bawah tiket Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri
(PRN) yang akan datang. "Jangan terpengaruh dengan agenda segelintir pihak
yang mendakwa bahawa saya tidak akan dipilih pada PRN ini nanti," katanya
sambil menambah Parti Rakyat Bersatu (UPP) adalah sebahagian daripada keluarga
besar BN yang berjuang di bawah konsep BN-Plus.
Rayong pada majlis itu mengumum peruntukan sebanyak
RM10,000 JKKK Rumah Anggang dan RM5,000 untuk biro wanita dengan Ahli Parlimen
Lubok Antu, Datuk William Nyalau Badak mengumum RM5,000 juga untuk biro wanita
terbabit. Hadir sama ialah Pegawai Daerah Lubok Antu, Jack Aman Luat, Jurutera
Bahagian Jabatan Kerja Raya (JKR) Sri Aman, Cassidy Morris, Penyelia JASA
Parlimen Lubok Antu, Geoffry Baja Ricky Maba dan Ketua Kaum di sini. - Utusan Sarawak.
Post a Comment