Pengarah Ihsan Perdana direman 
bantu siasatan 1MDB



PUTRAJAYA 22 Julai – Seorang pengarah syarikat Ihsan Perdana Sdn. Bhd. (Ihsan Perdana) direman lima hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana melibatkan akaun 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).

Perintah reman yang bermula hari ini dikeluarkan oleh Majistret Lau Eric di Mahkamah Majistret di sini.

Ihsan Perdana merupakan syarikat yang mengendalikan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Yayasan 1MDB.

Pengarah bergelar Datuk itu merupakan individu kedua yang ditahan dan direman untuk membantu siasatan berhubung isu melibatkan 1MDB selepas seorang pengarah syarikat pembinaan berusia 39 tahun direman empat hari mulai semalam.

Lelaki berumur 54 tahun itu dibawa dari sebuah hotel di Mutiara Damansara ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya semalam untuk disoal siasat sebelum ditahan di situ pada hari yang sama.

Difahamkan, pasukan SPRM sebelum itu telah menggeledah rumah dan pejabat pengarah syarikat itu dan merampas beberapa dokumen bagi membantu suruhanjaya tersebut menjalankan siasatan.

Suspek direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Di bawah seksyen tersebut, jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

SPRM merupakan salah satu anggota pasukan petugas khas yang ditubuhkan bersama Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bank Negara bagi menyiasat isu melibatkan 1MDB.

Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM, Ahmad Sazilee Abdul Khairi ketika ditemui pemberita berkata, pihaknya telah memohon tempoh tahanan selama tujuh hari terhadap suspek tetapi mahkamah mengeluarkan perintah reman untuk lima hari sahaja.

Ihsan Perdana dilaporkan sedang disiasat bersama dua syarikat lain iaitu SRC International Sdn. Bhd. (SRC International) dan Gandingan Mentari Sdn. Bhd. (Gandingan Mentari).

Ihsan Perdana sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan menafikan syarikat itu memindahkan wang ke dalam akaun-akaun peribadi termasuk akaun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Semalam, seorang pengarah syarikat pembinaan telah direman selepas dipercayai syarikat yang disertainya itu mempunyai kaitan dengan SRC International yang sedang disiasat bersama dua syarikat lain iaitu Gandingan Mentari dan Ihsan Perdana.

- Utusan Online

Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget