KUCHING, Khamis Menteri Pengurusan Sumber dan Alam Sekitar Kedua, Awang Tengah Ali Hasan menyatakan rasa tidak berpuas hati terhadap 30 projek bekalan elektrik luar bandar (BELB) yang dianggap sebagai tenat dan 23 lagi projek lewat jadual. Katanya, sebanyak 30 projek tenat itu daripada 1,236 projek adalah di bahagian tengah Sarawak seperti Sibu, Mukah, Sarikei dan Kapit. Terdapat projek yang sepatutnya siap pada 2010 dan 2011 namun masih belum siap sehingga sekarang, tegasnya.
Sebelum ini saya telah berjumpa dengan kontraktor-kontraktor yang telah dilantik oleh Kerajaan Persekutuan dan saya rasa tidak puas hati tentang prestasi pelaksanaan kerja kontraktor yang telah diamanahkan untuk menyiapkan 30 projek itu, katanya. Beliau berkata demikian pada Sidang Media di Wisma Sumber Alam di sini padi tadi.
Sehubungan itu, Awang Tengah telah memberi tempoh dan mengarahkan supaya kontraktor-kontraktor terbabit menyiapkan semua projek tersebut selewat-lewatnya pada hujung Ogos ini. Sekiranya mereka (kontraktor) tidak dapat menyiapkan pada masa yang ditetapkan, Kerajaan akan melantik kontraktor lain untuk meneruskan kerja-kerja itu dan bayaran akan dibayar terus kepada sub kontraktor yang dilantik, jelasnya.
Dalam pada itu, Kerajaan Negeri katanya menyasarkan sebanyak 65,484 isi rumah menikmati bekalan elektrik menjelang akhir tahun ini. Menurutnya, sejak tahun 2009 hingga 2015, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukkan sebanyak RM2.4 billion untuk melaksanakan 1,236 projek bekalan elektrik luar Bandar melalui sistem grid dan juga sistem alternatif.
Pelaksanaan projek berkaitan telah dilakukan oleh empat kontraktor yang telah dilantik oleh Kerajaan Persekutuan. Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri melalui Kementerian Kemudahan Awam akan menyenaraikan lokasi terpilih untuk melaksanakan projek ini dan senarai tersebut akan dikemukakan kepada Kementerian Luar Bandar dan Pembangunan Wilayah Malaysia.
Sarawak Energy Berhad (SEB) akan melihat dari segi teknikal sebelum mereka meluluskan dan untuk memastikan bahawa pelaksanaan projek itu adalah mengikut standard dan spesifikasi yang telah ditetapkan, katanya. Sementara itu, beliau memberitahu untuk isi rumah yang kurang mampu, mereka boleh memohon bantuan Skim Bantuan Pendawaian (Assisted Wiring Scheme) daripada mana-mana pegawai SEB. Turut hadir Menteri Muda Kemudahan Awam dan Menteri Muda Pembangunan Belia (Luar Bandar) (Bekalan Elektrik dan Komunikasi) Datuk Dr. Stephen Rundi Utom. -Utusan Sarawak.

Post a Comment