SUPP akan terus berkhidmat, melindungi dan perjuang hak rakyat Sarawak



MIRI: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) akan terus berkhidmat dan melindungi rakyat Sarawak serta memperjuang hak-hak bangsanya dalam mencapai matlamat tahun baharu 2016.

Setiausaha Agungnya, Datuk Sebastian Ting berkata SUPP telah berkhidmat untuk rakyat Sarawak selama 56 tahun dan berjanji sentiasa bekerja keras mengekalkan kestabilan dan keamanan.

“Sempena tahun baharu 2016 ini, menjadi harapan SUPP terus berjuang bersama dan mencapai kemajuan dari semasa ke semasa bagi membolehkan rakyat negeri ini menikmati kemajuan,” katanya dalam mesej sempena Tahun Baharu 2016 semalam.

Ting yang juga pengerusi SUPP Piasau berkata, pelbagai perancangan bakal dilaksanakan oleh SUPP sepanjang 2016 dalam mencapai matlamatnya.

Antaranya berusaha memastikan pelaksanaan dasar-dasar meningkatkan kualiti sistem pendidikan dan kemudahan pendidikan semua sekolah.

“Ini adalah antara perkara amat dititikberatkan semua ibu bapa di sini dalam memastikan anak-anak mereka mendapat pendidikan sempurna,” katanya.

Jelasnya, SUPP memastikan pengisytiharan hak Sarawak seperti dinyatakan dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan.

Pihaknya mahu permulaan penyusunan semula hubungan persekutuan dan negeri mengambil kira Perjanjian Malaysia 1963, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan dan aspirasi rakyat Sarawak.

Selain itu, SUPP turut menyuarakan dan melobi bagi menyediakan lebih peluang pekerjaan dan skim keusahawanan di Sarawak.

“Dalam usaha mempunyai kemajuan berterusan, kita perlu mempunyai lebih banyak dasar dan pelaburan yang mencetuskan kemajuan dinamik.

“Salah satu caranya ialah mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan keusahawanan di Sarawak dan pemansuhan Dasar Kabotaj (Cabotage Policy) Kerajaan Persekutuan yang tidak adil dan tidak wajar,” ujarnya.

Dasar Kabotaj meletakkan beban kewangan yang tidak perlu pada rakyat Sarawak dengan mengarahkan semua perdagangan antarabangsa di Malaysia melalui Pelabuhan Klang di Semenanjung Malaysia.

Ia menambahkan kos import dan eksport bagi Sarawak serta melambatkan tempoh barang dibawa masuk sekali gus menyebabkan Sarawak ketinggalan.

“Pemansuhan dasar tersebut mengurangkan kos sara hidup di Sarawak dan pada masa sama membantu meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Diharapkan Kerajaan Persekutuan memandang serius terhadap perkara tersebut dan mematuhi setiap Perjanjian Malaysia 1963 dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan bagi memberi jaminan Sarawak menjalankan Perdagangan Antarabangsa dengan negara-negara lain secara langsung dan membuat perniagaan Sarawak lebih baik bersaing di pasaran global,” katanya.

Jelas beliau, SUPP turut melobi memastikan Kerajaan Persekutuan membenarkan penerbangan secara terus di semua lapangan terbang di Sarawak.

Ini demi membolehkan rakyat Sarawak dan pelancong dalam serta luar untuk meneruskan perjalanan ke pelbagai destinasi dengan kadar kos tambang rendah tanpa melalui lapangan terbang antarabangsa di Kuala Lumpur.

2016 akan menjadi tahun penting bagi rakyat Sarawak dan kita berharap rakyat bersama membuat pilihan tepat demi mengukuhkan keamanan negeri ini.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget