Dr Benny calon pilihan SUPP di DUN Dudong


Pemilihan dibuat pada mesyuarat cawangan 12 Januari dihadiri Dr Soon Choon Teck

SIBU: Kemelut dalaman membabitkan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Dudong dalam menentukan calonnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang berjaya diselesaikan dan Dato Sri Dr Benny Lee dipilih sebulat suara bertanding di DUN Dudong.

Pengerusi Unit Bumiputera SUPP Dudong Kaunselor Ladong Engkol berkata pemilihan Dr Benny yang merupakan timbalan pengerusi SUPP Dudong dibuat pada mesyuarat cawangan itu pada 12 Januari lalu dan turut dihadiri Pengerusi SUPP Dudong Datuk Dr Soon Choon Teck.

Menurutnya, semua yang hadir pada mesyuarat itu terdiri daripada ahli-ahli exco yang sebulat suara mahu Dr Benny dikekalkan menjadi calon SUPP di kerusi DUN Dudong pada PRN nanti.

Ladong mendedahkan bahawa SUPP Dudong menyenaraikan nama Dr Benny sebagai calon utama sementara Pengerusi Belia SUPP Dudong Kong Yii Tee disenaraikan sebagai calon kedua atau calon simpanan.

“Sekarang, SUPP Dudong tidak menghadapi sebarang konflik atau kemelut dalaman dan semuanya sudah selesai dan kami sudah berbaik-baik semula, begitu juga antara Dr Soon dan Dr Benny,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Sebelum ini, Dr Benny berasa kecewa dengan tindakan saat-saat akhir Dr Soon yang tidak merestuinya sebagai calon SUPP di DUN Dudong atas faktor kesihatan sedangkan Dr Soon sendiri memintanya menjadi calon pada mulanya.

“Maka sudah disahkan Dr Benny adalah calon BN-SUPP di Dudong dan kini kita hanya menunggu pengumuman rasmi presiden parti dan pengerusi BN Negeri. Semuanya terserah kepada mereka,” katanya.

Ladong berkata soal kesihatan sering menjadi isu orang ramai mempertikai kemampuan Dr Benny sebagai calon BN-SUPP di Dudong adalah tidak berasas sedangkan beliau sendiri sihat dan mempunyai surat pengesahan doktor peribadinya mengesahkan beliau sihat dan normal.

“Cuma cara pergerakan langkahnya ketika berjalan sahaja yang mempunyai sedikit kelainan tetapi itu bukan masalah.

“Sepanjang berkempen pada 2015 iaitu pada sambutan Hari Gawai, beliau berjaya melawat 163 rumah panjang dalam masa lebih kurang dua minggu bagi melawat rakyat.

“Dua wakil rakyat BN kami lalu iaitu masing-masing selama empat penggal pun tidak mampu melawat sebanyak 163 rumah panjang sepanjang 20 tahun berkhidmat sebagai wakil rakyat.

“Itulah Dr Benny yang mempunyai banyak perbezaan daripada mereka, tambahan pula beliau masih muda dan sangat suka akan penduduk rumah panjang,” jelasnya yang juga naib pengerusi SUPP Dudong.

Ladong menyifatkan sebagai contoh, pemimpin terulung Parti Tindakan Demokratik (DAP) mendiang Karpal Singh turut diterima rakyat menjadi wakil rakyat walaupun hanya duduk di kerusi roda apatah lagi Dr Benny masih boleh berjalan.

“Apa yang penting adalah sifat kepimpinannya dan beliau bersungguh-sungguh mahu bekerja dan berkhidmat kepada rakyat.

“Kami tak kisah, asalkan Dr Benny ikhlas berkhidmat dengan rakyat. Kesimpulannya, Dr Benny sudah dikenali ramai dan disenangi rakyat di Dudong,” tambahnya.

Ladong berkata tahun lalu Dr Benny membantu memohon pelbagai projek pembangunan di kawasan Dudong, antaranya RM2.35 juta melalui Program Transformasi Luar Bandar (RTP) daripada kerajaan negeri, RM300,000 melalui ‘Touch Point Programme’ daripada kerajaan persekutuan dan RM150,000 daripada kerajaan negeri.

“Dianggarkan kos keseluruhannya adalah RM3 juta daripada kerajaan membantu membangunkan kawasan-kawasan luar bandar di DUN Dudong. Dr Benny banyak memainkan peranan untuk peruntukan tersebut,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ladong mendedahkan bahawa 85 peratus pengundi Bumiputera di Dudong menyokong sepenuhnya Dr Benny dan menolak calon kitar semula.

“Cukuplah kami sudah kalah dua kali iaitu di peringkat DUN dan Parlimen (DUN Dudong dan Parlimen Lanang) dan sekarang kami mahu muka baharu iaitu Dr Benny.

“Saya mengingatkan rakyat jangan mudah terpengaruh dengan tindakan segelintir parti mengakui mereka BN.

“Dalam BN hanya empat parti komponen iaitu SUPP, SPDP, PRS dan PBB. Tiada parti lain selain keempat-empat parti tersebut.

“Justeru, kami di Dudong ini memohon Pengerusi BN Negeri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem menetapkan calon di Dudong berdasarkan kehendak majoriti rakyat iaitu melalui akar umbi dan tidak mendengar pihak atasan sahaja,” katanya.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget