Hak asasi manusia di Malaysia mundur dengan Akta MKN, kata Suhakam


Malaysia akan semakin mundur daripada segi hak asasi manusianya jika Rang Undang-undang (RUU) Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2015 dijadikan sebahagian undang-undang negara, kata Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Tan Sri Hasmy Agam.
Dalam satu wawancara sebelum berakhirnya tempoh perkhidmatan beliau pada April, Hasmy berkata, beliau melihat hak asasi manusia di negara ini sekurang-kurangnya sejak 5 tahun lalu sehingga kini, tidak menyaksikan perubahan besar.
Ini kerana, langkah positif yang diambil seperti memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kemudiannya dibatalkan dengan penggubalan undang-undang baru yang menyekat kebebasan awam.
Komen Hasmy ini mengungkapkan satu tahun yang gelap daripada segi hak asasi manusia di Malaysia ketika Putrajaya mengukuhkan lagi undang-undang yang menyekat kebebasan bersuara dan pihak berkuasa mengambil tindakan keras terhadap pengkritik pentadbiran Najib.
"Setakat ini, kita (Malaysia) tidak banyak melakukan perubahan besar. Walaupun terdapat beberapa perkembangan positif seperti pemansuhan ISA, terdapat juga perubahan yang meletakkan kita jauh ke belakang dalam hak asasi manusia.
"Contohnya, Akta Pencegahan Keganasan 2015 (Pota) dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) serta Akta Hasutan yang diteruskan (kini diperkukuhkan) dan lulusnya RUU MKN.
"Sekiranya ia (RUU) menjadi undang-undang, ia akan meletakkan kita sebagai sebuah negara yang makin terkebelakang dalam konteks hak asasi manusia dan urus tadbir yang baik," katanya kepada The Malaysian Insider.
RUU MKN itu, yang dengan laju diluluskan Dewan Rakyat dan Dewan Negara, membolehkan majlis dipengerusikan perdana menteri mengisytiharkan zon keselamatan.
Kuasa ini disifatkan masyarakat sivil sebagai "kuasa ala darurat" dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan hanya Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa mengisytiharkan darurat.
Pengkritik berkata, RUU keselamatan itu memberikan kuasa penuh kepada perdana menteri tanpa perlu mendapat persetujuan istana semasa krisis negara.
Majlis itu juga boleh membenarkan carian, rampasan harta dan tangkapan di kawasan keselamatan tanpa waran.
Isu LGBT paling mencabar
Hasmy berkata, hak LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transeksual) merupakan salah satu isu paling mencabar yang perlu ditangani pesuruhjaya Suhakam baharu nanti, dan masyarakat Malaysia amnya, dengan serius dan berhati-hati.
Katanya, walaupun isunya sangat rumit untuk diselesaikan, namun perbincangan perlu diadakan untuk memahami dan menggalakkan satu suasana yang toleran terhadap komuniti ini.
"Isu ini sangat sensitif di Malaysia dan mesti dikendalikan dengan berhati-hati dan berhemah supaya tidak menjejaskan kemajuan dalam agenda hak asasi manusia di negara ini.
"Suhakam akan terus menangani cabaran ini menerusi lebih banyak dialog dan hubungan dengan pihak berkenaan, dengan harapan dari masa ke semasa akan wujud persefahaman dan toleransi yang lebih baik.
"(Agar) menyebabkan berkurangnya kejadian gangguan dan ugutan, jika tidak dihapuskan sama sekali pun, dan meningkatkan sikap menghormati kebebasan peribadi dan privasi.
"Saya harus akui isu ini adalah salah satu yang paling sukar dikendalikan Suhakam tanpa penyelesaian yang mudah," katanya.
Hasmy berkata, satu lagi cabaran ialah memperbaiki pemahaman mengenai hak asasi manusia di Malaysia memandangkan ramai yang masih melihatnya daripada perspektif etnik, budaya dan agama.
Rakyat Malaysia sewajarnya memperbetulkan tanggapan terhadap isu hak asasi manusia dengan mengubah sikap dan pemikiran mereka, katanya.
Suhakam sebelum ini mengecam Putrajaya kerana pendiriannya yang sering bercanggah mengenai hak asasi manusia, ketika kerajaan cuba menggilap imej antarabangsanya sambil membuat kenyataan politik di dalam negara. – 3 Januari, 2016. - The Malaysian Insider.
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget