GUNA SALURAN BETUL DAPATKAN PENGIKTIRAFAN 22 JULAI SEBAGAI CUTI UMUM


KUCHING: Pihak yang menuntut supaya 22 Julai diiktiraf menjadi hari cuti umum sebagai tanda penghormatan kepada tarikh sebenar kemerdekaan Sarawak itu perlu menggunakan saluran yang betul dan bukan menerusi perarakan.
Demikian tegas Timbalan Menteri Dalam Negeri Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar sambil menjelaskan bahawa langkah yang dilakukan haruslah seperti usaha menuntut 16 September yang kini sudah diraikan sebagai Hari Malaysia dan diiktiraf sebagai cuti umum.
“Dahulu kita tidak meraikan 16 September tetapi desakan keseluruhan rakyat Sarawak mahu ia diiktiraf maka kita mengusahakannya dengan saluran yang betul dan sekarang kita meraikannya.
“Jadi bagi 22 Julai, ia juga sepatutnya dibuat dengan saluran sedemikian,” katanya ketika ditemu bual pada majlis rumah terbuka Hari Raya beliau di dewan santapan, Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) lama di sini, semalam.
Beliau menyatakan demikian bagi mengulas tindakan Jawatankuasa Hari Kebangsaan dan Kebebasan Sarawak 722 yang buat kali ketiga akan mengadakan perarakan pada 19 Julai ini untuk menuntut 22 Julai diisytiharkan menjadi hari cuti umum.
Dalam pada itu, Wan Junaidi berkata adalah tidak menjadi masalah untuk tarikh kemerdekaan Sarawak itu diraikan namun jika melihat kepada sejarah negara maka berlaku kekeliruan untuk menetapkan peristiwa manakah yang harus diraikan.
“Saya bukan hendak menafikan hak tetapi melihat pada Tanah Melayu yang mula menubuhkan kabinet sendiri pada 1953 yang mana Tunku Abdul Rahman dilantik menjadi Ketua Menteri, kenapakah kita tidak meraikan itu.
“Kita sudah ada 31 Ogos dan 16 September untuk diraikan maka berapa banyak lagi peristiwa yang hendak kita raikan.
“Jadi, semua kena akur dengan ini walaupun saya faham ada segelintir di kalangan kita di Sarawak ingin meraikan 22 Julai,” katanya.
Sementara itu, Menteri Muda Pembangunan Belia (Luar Bandar) Datuk Dr Stephen Rundi Utom berkata tidak dinafikan bahawa 22 Julai adalah tarikh penting bagi semua rakyat Sarawak namun masyarakat negeri ini juga perlu melihat konteks hari ini dalam Malaysia.
“Kita semua mungkin sangat gembira dengan kemerdekaan negeri pada 22 Julai sebelum menyertai dan membentuk Malaysia bersama Sabah, Singapura dan Semenanjung.
“Bagi saya kita telah merdeka sejak 50 tahun lalu sehingga apa sahaja sentimen yang ada, kita masih mencintai Malaysia dan mahu seluruh Malaysia turut bergembira bahawa 22 Julai adalah cukup penting bagi semua rakyat Sarawak.
“Namun perkara itu tidak wajar memberikan kita kebebasan untuk menyatakan bahawa Sarawak hanya untuk rakyat Sarawak di mana saya cenderung untuk tidak bersetuju kerana Sarawak adalah sebahagian daripada Malaysia kini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual pada majlis rumah terbuka Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem pada Hari Raya Aidilfitri di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) kelmarin.
Rundi turut mengakui bahawa Sarawak adalah mempunyai autonomi sendiri dan mahu diiktiraf, dihormati serta hak dilindungi seperti yang dipersetujui dalam Perjanjian Malaysia 1963 namun hakikatnya rakyat negeri ini juga perlu bersama-sama berjuang untuk negara.
“Kita mahu seluruh negeri di Malaysia tahu bahawa kita juga memberi penghormatan kepada negara dan kita mahu mereka menghormati kita sedemikian juga,” katanya. -Borneo Post.
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget