Penghargaan kepada Ulama bukan bertujuan "membeli" mereka -Zahid Hamidi


KUALA KANGSAR - Timbalan Perdana Menteri berkata, anugerah atau pengiktirafan yang diberikan kepada ulama bukan bertujuan untuk ‘membeli’ seseorang ulama.

Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebaliknya sesuatu anugerah yang diberikan bertujuan untuk menghargai golongan tersebut.

Menurut beliau, ulama bukan sahaja membuat kerja secara percuma seperti yang dituntut Allah tetapi kerajaan mendapatkan keberkatan dengan menghargai golongan itu.

"Wang bukan nilai untuk menghargai seseorang, wang juga bukan untuk membeli harga diri seseorang ulama.

"Tetapi ulama perlukan penghargaan dan pengiktirafan daripada kerajaan. Alhamdulillah walaupun kerajaan kita bukan dipimpin oleh ulama, tetapi ulama memberikan nasihat yang baik maka mereka perlu dihargai," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap dalam majlis berbuka puasa dengan penduduk sempena Program Penerapan Nilai-Nilai Murni Ramadan di Masjid al-Ansar di Kampung Senggang dekat sini malam tadi.

Turut hadir Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Dalam majlis tersebut, Ahmad Zahid turut menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf dan anak yatim.

Menurut Ahmad Zahid, beliau telah menghidupkan semula Majlis Perundangan Islam yang bertujuan menyatukan golongan ulama.

Beliau berkata, sama ada seseorang itu ulama pondok atau dari universiti, pengarah universiti, pengerusi dewan ulama atau penasihat parti politik, kesemuanya disatukan kerana tidak mahu mereka dipisahkan akibat perbezaan politik.

"Begitu juga untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar ini, saya nasihatkan jagalah tertib ketika berkempen kerana sebagai orang Islam perlu ada adab walaupun berbeza pendapat," katanya. 

- UTUSAN ONLINE

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget