PAS terima pelawaan berbaik dengan UMNO, namun bukan bergabung


KOTA BHARU: PAS tidak akan bergabung dengan UMNO atau menyertai parti dalam komponen Barisan Nasional (BN) namun terbuka menerima pelawaan berbaik dengan parti Melayu itu.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, PAS bersedia berbaik dengan mana-mana parti termasuk UMNO demi kepentingan rakyat.

“Kita boleh berbaik dengan semua (pihak) tapi tidak akan bergabung dengan UMNO,” ujar Abdul Hadi.

Abdul Hadi berkata demikian di sidang media selepas ucaptama perasmian Muktamar Tahunan PAS kali ke-62 di Pusat Tarbiyah Islam Kelantan (Putik) siang tadi.

Perasmian Muktamar Dewan Pemuda pada 31 Mei lepas yang mengenakan pakaian Melayu dan membawa keris serta perasmian muktamar siang tadi turut mengenakan gimik berpakaian yang serupa menimbulkan tanda tanya mengenai arah tuju PAS.

Abdul Hadi diminta mengulas mengenai pendirian PAS masa kini serta ucapannya yang menjelaskan PAS perlu mengamalkan politik matang, sejahtera dan aman dengan tidak mencaci parti lain, mengamalkan keterbukaan dan keharmonian dengan berpolitik secara realistik dan bukannya persepsi.

“Kita mahu membudayakan masyarakat kita yang menjalinkan keharmonian antara satu sama lain, sama ada Islam atau majmuk.

“Kita boleh berbeza pendapat tapi tidak boleh bertegang dan menimbulkan masalah (hinggakan) tidak boleh menyelesaikan masalah,” ujar beliau.

Katanya, zaman politik lampau perlu ditinggalkan kerana politik lampau merupakan cara penjajah yang bertujuan memecah-belahkan antara satu sama lain dan menyusahkan rakyat.

Warisan berpolitik cara penjajah zaman dulu perlu ditinggalkan kerana ia merupakan satu bentuk perangkap bom jangka yang boleh menjurus ke arah perpecahan.
Politik zaman kini ialah mewujudkan keharmonian dan pendekatan mewujudkan masyarakat yang harmoni kerana Islam meletakkan umat manusia itu satu.

Menyentuh usul dari Dewan Muslimat yang mencadangkan supaya Tahalul Siyasi dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dikaji semula, Abdul Hadi menjelaskan perkara tersebut akan diteliti kerana sebarang keputusan perlu dibuat secara kolektif.

- Awani

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget