Pasca Muktamar 61, ICT menanti peneraju baru


SEPANJANG ingatan saya, saya telah terlibat dan melalui berbagai peringkat dalam industri ini bermula dengan EDP (Elektronik Data Processing), kemudian MIS (Management Information System), IS (Information System), IT (Information Technology) dan sekarang pula ICT (Information Communication Technology).

Di dalam PAS, saya sering ditanya oleh banyak pihak dalam PAS sama ada untuk gunakan perkataan IT atau ICT, Ada yang tanya, kenapa PAS menggunakan ICT kepada nama Lajnah ICT PAS Pusat tetapi mengekalkan nama IT pada Jabatan IT PAS (JITP) dari mereka yang berkenaan terlibat dalam bidang IT ini secara langsung atau tidak.

Sesuatu itu berlaku atau dilakukan ada sebab dan sejarah serta nostalgia yang tersendiri kenapa dinamakan Lajnah ICT PAS (LICTP) dan dikekalkan pada JITP. Sukar juga saya untuk menulisnya secara ringkas dan ruangan yang terhad ini kepada semua pihak. Boleh jemput saya dilain masa, insya-Allah saya terangkan.

Perkara penting yang diputuskan dalam mesyuarat LICTP sebelum ini adalah berhubung dengan penjenamaan semula LICTP ini kepada satu nama yang sesuai dengan peranannya yang sedang berkembang ekoran kepada berkembangnya bidang ICT ini yang melibatkan integrasi bidang teknologi maklumat, telekomunikasi, penyiaran dan multimedia.

Dalam Muktamar ke-60 yang lepas di Batu Pahat, Presiden PAS menamakan sebagai Lajnah IT, Komunikasi dan Multimedia (LITKMM). Inilah cabaran terpenting kepada Lajnah IT Komunikasi dan Multimedia yang baru pada penggal 2015-2017 ini di samping meneruskan kecemerlangan JITP sebagai sebuah jabatan pasca 15 tahun usianya dalam PAS selepas diperbadankan.

Sejarah Awal Perkembangan JITP

Penggunaan IT dalam PAS ini telah bermula sejak awal lagi. Jauh sebelum tertubuhnya, Jabatan IT PAS Pusat (JITP) secara rasmi selepas menerima resolusi Seminar dan Bengkel IT (SBIT) PAS pada 7 Oktober, 2000 dan disahkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat pada 18hb November 2000.

Sejak itu JITP sebagai sebuah entiti dalam PAS telah diperbadankan. Setiausaha Agong PAS ketika itu, Ustaz Nasharuddin Mat Isa dilantik sebagai Pengerusi dibantu oleh Dr Mohd Hata Ramli, Timbalan Pengarah Pusat Penyelidikan PAS (PPP) sebagai Timbalan Pengerusi serta saya yang menjadi Pengarah SBIT2000 sebagai Setiausaha JITP yang pertama.

Mesyuarat yang pertama secara rasmi kalau tidak silap ingatan saya diadakan pada 27 Januari, 2001 di pejabat PPP, Jalan Pahang dan membuat beberapa keputusan termasuk membentuk Lembaga Penasihat JITP dan saya dilantik sebagai Pengarah Eksekutif JITP yang pertama.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-11 (2004), satu bedah siasat yang terperinci yang dilakukan oleh PAS, juga telah melakukan kajian terperinci termasuk dalam bidang IT ini dan merumuskan untuk memperkasakan JITP sebagai satu entiti penting dalam parti bagi menghadapi perkembangan dunia IT pada masa depan khususnya pada Pilihan Raya Umum ke-13 dan seterusnya nanti.

Suatu keputusan telah diambil dalam retreat PAS Pusat 2005, bahawa IT ini wajar diuruskan oleh seorang pengerusi sepenuh masa, bukan lagi seperti sebelum ini, di bawah Setiausaha Agung PAS.

Dilantik pula, Ustaz Abd Ghani Samsudin seorang Ahli Jawatankuasa PAS Pusat sebagai Pengerusi Lajnah ICT sesi 2005/2007 dan dalam mesyuarat yang pertama selepas itu beliau mencadangkan untuk mengekalkan Jabatan IT PAS (JITP) yang telah beroperasi dengan baik selama ini diatas beberapa sebab.

Keputusan yang diambil adalah mengekalkan saya bukan sahaja dikekalkan sebagai Pengarah JITP telah diangkat menjadi Timbalan Pengerusi LICTP yang pertama untuk membantu beliau membentuk hala tuju Lajnah ICT yang baru dibentuk ketika itu.

Saya hanya memegang jawatan Timbalan Pengerusi LICTP itu selama satu sesi 2005-2007 ketika Datuk Takiyuddin Hassan dilantik sebagai Timbalan Pengerusi sesi 2007-2009 untuk memantapkan organisasi ICT diperingkat jawatankuasa pusat tetapi dikekalkan sebagai Pengarah JITP.

Peranan LICT dan JITP

Bagi memastikan supaya tidak bertindan fungsi dengan Lembaga Penasihat JITP yang telah sedia ada pada ketika itu dengan Lajnah ICT yang baru ditubuhkan, kita memutuskan untuk membubarkan sahaja Lembaga tersebut yang Setiausaha Agung menjadi Pengerusi sebelum ini tetapi mengekalkan fungsi Setiausaha Agung sebagai penasihat kepada JITP.

Dalam laporan tahunan PAS disebut bahawa misi Lajnah ICT PAS Pusat adalah memperkasa dan memperkukuhkan PAS melalui pengunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) demi memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-hilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah, dimana;

- Lajnah ICT PAS Pusat (LICTPP) bertanggungjawab merangka dasar, hala tuju/polisi PAS untuk jangka panjang dan memastikan pembudayaan ICT serta memantau pengunaan ICT dalam PAS

- Jabatan IT PAS (JITP) bertangungjawab membangun aplikasi dan sistem serta pengunaan prasaranan IT dalam PAS di peringkat pusat serta menyokong perlaksanaan IT diperingkat negeri dan dewan-dewan

Selepas Dato Takiyuddin Hassan berundur kerana dilantik sebagai Penolong Setiausaha Agung PAS pada tahun 2010, tempatnya diganti oleh Datuk Dr. Mohamed Fadli Hassan, Exco ICT Kelantan. Amalan melantik Exco ICT Kerajaan Negeri dibawah pimpinan PAS dalam Lajnah ICT Pas Pusat ini telah dimulakan seawal tahun 2001 (sebelum itu dipanggil Lembaga Penasihat JITP sehingga 2005).

Pada sesi 2011-2013, kedua-dua exco yang berkaitan portfolio ICT, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan dan Datuk Ismail Salleh dari Kerajaan Kelantan dan Kedah telah dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Lajnah ICT PAS Pusat

Pada penggal 2013-2015, Datuk Hanipa Ahmad yang dilantik sebagai Exco ICT Kelantan selepas PRU ke-13, turut dilantik ke dalam Lajnah ICT PAS Pusat bagi memenuhi amalan dan garis panduan awal anggota Lajnah ICT PAS Pusat.

Malah terdapat dua orang lagi exco kerajaan negeri dalam senarai lajnah ICT ini, iaiatu Datuk Che Abdullah Mat Nawi (Kelantan) dan Zaidy Abdu Talib (Selangor)

Apabila Ustaz Abdul Ghani Samsuddin tidak bertanding AJK Pusat, Pengerusi Lajnah ICT Pas Pusat digantikan oleh Datuk Seri Ir Muhammad Nizar Jamaluddin, mantan Menteri Besar Perak yang juga AJK Pas Pusat tetapi beliau dilantik pula menjadi Timbalan Pengerusi yang baru pada penggal 2013/2015.

Apabila kedua-dua Pengerusi LICTP (Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin) dan Timbalan Pengerusi (Ust Abdul Ghani Samsuddin) tidak menang dalam pemilihan Muktamar ke-61, terdapat kekosongan kepada jawatan tersebut.

Sekarang terserah kepada Presiden dan Jawatankuasa PAS yang menang untuk tentukan masa depan IT atau ICT dalam parti pascamuktamar ke-61 baru-baru ini dengan memilih peneraju yang sesuai.-Harakah Daily
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget