Jerip: PM iktiraf BN Plus, TERAS dan UPP anggap satu mandat


KUCHING: Tidak mengejutkan tetapi amat berbesar hati dengan penerimaan pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) terhadap Parti Rakyat Bersatu (UPP) dan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS).

Timbalan Presiden UPP Datuk Dr Jerip Susil menambah, pengiktirafan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terhadap konsep BN Plus merupakan satu mandat.

“Terima kasih kepada PM kerana memberi mandat kerana ini akan menambah langkah baru dalam kestabilan politik Sarawak.

“Ini merupakan peluang bekerjasama bawah satu payung dengan menyokong Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem dan Perdana Menteri,” katanya ketika diminta memberi reaksi susulan pengiktirafan UPP sebagai BN Plus.

Para pemimpin dan ahli-ahli UPP merupakan bekas Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), berpecah susulan pertelingkahan yang gagal diselesai.

Dr Jerip menyifatkan bantahan terhadap penerimaan UPP dan TERAS menerusi konsep BN Plus sebagai perkara biasa.

“Mereka (SUPP dan SPDP) perlu memandang jauh penyertaan kami dalam BN Plus. Ini akan membawa ke arah kestabilan politik dan keharmonian dalam keluarga BN.

“Harap pandangan seperti ini menjadi pertimbangan dalam kalangan mereka yang menentang,” katanya sambil menambah, golongan itu juga harus melihat perkembangan semasa serta kehendak rakyat mahukan pembangunan.

Sementara itu, Timbalan Presiden TERAS Datuk Peter Nansian Ngusie berkata, parti itu amat gembira dan berterima kasih kepada Najib dengan terbuka menyokong serta mengiktiraf parti itu sebagai BN Plus.

Beliau berkata sokongan Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) sudah tentu membawa makna cukup besar kepada parti dan membuktikan kesetiaan kepada BN selama ini tidak sia-sia.

“Sudah tentu TERAS sangat gembira dengan sokongan itu lebih-lebih lagi datang daripada pucuk kepimpinan BN sendiri. Parti amat terima kasih kepada Perdana Menteri juga Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem selaku Pengerusi BN Negeri.

“BN bersifat insklusif, tidak pernah mengetepi kumpulan atau mereka yang setia menyokong. Justeru selagi anda menyokong BN selagi itulah anda sebahagian daripadanya. Begitu juga dengan TERAS,” katanya ketika dihubungi semalam.

Nansian yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru berkata kini perkara paling penting ialah beliau dan parti akan terus berkhidmat untuk rakyat.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai kenyataan Najib yang secara terbuka menggesa supaya BN dan BN Plus (TERAS dan Parti Rakyat Bersatu) bekerjasama menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Najib membuat kenyataan itu ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Stadium Perpaduan dekat sini baru-baru.

TERAS ditubuh pada 2014 dan merupakan parti serpihan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) selepas wujudnya perbalahan pucuk kepimpinan dalam SPDP, dipimpin bekas presiden SPDP, Tan Sri William Mawan Ikom.

Selain Nansian dan Mawan (Pakan), tiga lagi ADUN menyertai TERAS ialah Rosey Yunus (Bekenu), Datuk Sylvester Entri Muran (Marudi) dan Paulus Palu Ngumbang (Batu Danau).

Ditanya sama ada beliau akan mempertahan kerusi Tasik Biru pada PRN nanti, Nansian berkata beliau menyerahkan sepenuhnya kepada pucuk kepimpinan BN negeri dan pusat membuat keputusan.

“Perkara itu saya serahkan kepada pucuk kepimpinan BN negeri juga pusat untuk membuat keputusan. Bagi saya, sudah tentu saya akan terus berkhidmat kepada rakyat,” ujar Nansian juga juga Menteri Muda Pembangunan Perindustrian (Pembangunan Estet Perindustrian).- BP
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget