Kaum Dayak Diseru Sertai Tentera Darat Bagi Kekal Legasi


SIBU - Kaum Dayak diharap agar terus menganggotai tentera darat bagi mengekalkan legasi perjuangan dan kesetiaan mereka kepada negara, kata Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Menurut beliau, kaum tersebut yang merupakan kaum kedua terbesar yang menyertai tentera darat telah menunjukkan semangat pejuang dan kesetiaan yang tinggi di samping sifat keberanian yang amat digeruni musuh.

"Inilah semangat yang diperlukan oleh tentera darat Malaysia. Saya ucapkan terima kasih kepada kaum Dayak khususnya di atas pengorbanan dan perjuangan mereka selama ini," katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Zaki Mokhtar semasa majlis 'ngiling nidai' (penutup perayaan Gawai) peringkat tentera darat anjuran Briged Infantri Kesembilan di 3 Rejimen Renjer Diraja, Kem Oya di sini Rabu malam.

Majlis itu dihoskan oleh Panglima 1 Divisyen Infantri, Mejar Jeneral Datuk Stephen Mundaw dan turut dihadiri oleh Anggota Dewan Undangan Negeri Nangka Dr Anuar Rapae'e.

Raja Mohamed Affandi turut berkata sambutan majlis tersebut sangat dinanti-nantikan tentera darat kerana ia mencerminkan hubungan kukuh dalam kalangan warga tentera yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

Sebelum itu Mundaw dalam ucapannya berkata, perayaan Gawai adalah penting kerana dapat membina jati diri sesebuah etnik.

Beliau percaya keunikan adat dan tradisi orang Dayak dapat menyumbang kepada matlamat Gagasan 1Malaysia yang turut diwarnai oleh pelbagai kaum. - BERNAMA
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget