Hormat budaya, adat resam kami



Ranau: “Ini bukan undang-undang atau kepercayaan karut, tetapi lebih kepada menghormati budaya sesama manusia dan mereka (pendaki) perlu mematuhinya,” kata Camilus Solungin, kakak kepada malim gunung, Joseph Solungin, 34, yang terkorban dalam kejadian gempa bumi di laluan Via Ferrata, Gunung Kinabalu, Jumaat lalu.

Camilus berkata, peringatan itu ditujukan kepada sekumpulan pendaki warga asing yang bertindak biadab apabila merakam foto dalam keadaan bogel di puncak gunung.

“Saya penganut Kristian dan tidak mempercayai kejadian gegaran disebabkan kemarahan penunggu gunung akibat perbuatan keji pendaki, tetapi lebih kepada menghormati kepercayaan orang tua terutama nenek moyang yang patuh dengan adat mereka.

“Walaupun tidak boleh dijelaskan secara logik mengenai kaitan perbuatan mereka (pendaki) dengan kejadian ini, tetapi sudah menjadi kemestian supaya menghormati adat resam di negeri orang,” katanya ketika ditemui selepas mengiringi mendiang adiknya yang tiba di rumah mereka di Kampung Bundu Tuhan, Kundasang, semalam.

Camilus yang juga guru di Sekolah Menengah (SM) Mat Salleh Ranau berkata, rakyat negara ini sentiasa diajar menghormati budaya orang lain.
“Lebih-lebih lagi apabila kita berada di tempat orang, tetapi apa yang dilakukan kumpulan pendaki Eropah ini sangat mengecewakan.

“Walaupun berbeza agama dan kepercayaan, tetapi adat perlu dipertahankan,” katanya.

Dia berkata, ramai sahabat beragama Islam memahami dan menghormati adat kepercayaan kaum asli negeri ini.

“Sahabat kami beragama Islam juga tidak akan melakukan perkara yang boleh menyentuh sensitiviti berkaitan adat penduduk tempatan.

“Walaupun tidak mempercayainya, tetapi mereka tetap menghormati adat resam kami di sini,” katanya.

Camilus berkata, adik lelakinya itu akan disemadikan di Tanah Perkuburan Katolik Kampung Bundu Tuhan, selepas upacara penghormatan terakhir dilakukan di Gereja St Pius.

“Mendiang Joseph adalah seorang yang penyabar dan sentiasa bertanggungjawab dengan tugas dipikulnya.

“Walaupun kami sekeluarga bersedih dengan kejadian meragut nyawanya, tetapi kami berbangga dengan keberaniannya menyelamatkan nyawa orang lain,” katanya.

Joseph antara empat malim gunung yang disahkan terkorban apabila puncak tertinggi di Asia Tenggara mengalami gegaran selepas dilanda gempa bumi bermagnitud 5.9.

Sementara itu, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Kamarlin Ombi berkata, setiap pelancong yang menjejakkan kaki ke negeri ini perlu menghormati kepercayaan yang ada selain tidak mencemarkan lokasi suci bagi kaum berkenaan.

“Ini termasuklah kepercayaan Gunung Kinabalu tempat suci bagi suku kaum Kadazandusun dan Murut,” katanya.- HMetro

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget