Perbahasan DUN Sarawak panas





KUCHING: Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak hari ini 'panas' bila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Barisan Nasional (BN) dan pembangkang membahaskan Rang Undang-Undang Hutan 2015.

Rang Undang-Undang Hutan 2015 dibentangkan oleh Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan.

Sementara ADUN BN yang menyertai perbahasan berkenaan menyokong penuh pindaan kepada Ordinan Hutan Sarawak, ADUN PKR dan DAP pula menyuarakan beberapa kekurangan dan kelemahan dalam ordinan itu sambil menuntut ia diperbaiki.

Malah ADUN Pending, Violet Yong mahu supaya Awang Tengah yang mengetuai pasukan bertindak membanteras pembalakan haram peringkat negeri diganti oleh ADUN Satok, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg atau ADUN Asajaya, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, kedua-duanya wakil rakyat BN.

Semua ADUN yang menyertai perbahasan itu memuji keberanian Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem memerangi gejala pembalakan haram di negeri ini.

Mereka rata-rata menyokong denda dan hukuman penjara yang lebih berat dikenakan terhadap pencuri balak yang juga sumber ekonomi penting negeri ini.

Terdahulu, semasa sesi soal jawab, Awang Tengah ketika menjawab pertanyaan daripada Hazland Abang Hipni (BN-Demak Laut), berkata sebanyak 46,216 meter padu kayu balak berjaya dirampas atas kesalahan pembalakan haram sepanjang 2014.

Kepada soalan Abdul Raman Junaidi (BN-Pantai Damai), Awang Tengah berkata terdapat 136 kes pembalakan haram disiasat sepanjang tahun lalu, manakala pada tahun ini setakat 10 April sebanyak 16 kes.

Katanya, sepanjang tempoh berkenaan seramai 137 suspek ditahan untuk diambil keterangan dan daripada jumlah itu seramai 75 orang dikenakan kompaun dengan jumlah RM2.3 juta.

Awang Tengah berkata, bagi menangani masalah pembalakan haram dalam jangka panjang kerajaan telah dan akan mengambil beberapa tindakan termasuk menggalak pelesenan untuk memperoleh persijilan hutan.

Selain, menguatkuasakan 100 peratus 'enumeration and tree tagging', meminda Ordinan Hutan dengan meningkatkan kadar denda dan hukuman penjara sebagai langkah pencegahan dan peningkatan pemeriksaan.

Katanya, baru-baru ini kerajaan telah menubuhkan pasukan bertindak membanteras pembalakan haram peringkat negeri. Pasukan itu dianggotai agensi-agensi penguatkuasaan yang terlibat dan pihak pelesen. - BERNAMA

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget