Pemasangan CCTV Terbukti Berjaya Kurangkan Jenayah


KUCHING: Pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di 24 lokasi terbukti berjaya membantu mengurangkan kes jenayah di bandar raya ini, kata Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kontinjen Sarawak, Senior Asisten Komisioner (SAC) Burhanuddin Abdul Majid.

Menurut beliau, perbandingan perangkaan indeks jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching bagi Januari hingga April 2014 menunjukkan penurunan sebanyak 144 kes untuk tempoh sama tahun ini.

“Indeks Jenayah Daerah Kuching bagi bulan Januari hingga 26 April 2015 mencatatkan sebanyak 577 kes jika dibandingkan dengan tempoh sama tahun 2014 yang merekodkan sebanyak 721 kes.

“Jumlah ini menunjukkan penurunan sebanyak 144 kes bersamaan 19.97 peratus.

“Dengan kesedaran yang semakin meningkat dalam kalangan orang awam serta Inisiatif Bandar Selamat yang telah dilaksanakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), maka kita berharap dapat menurunkan lagi kadar jenayah untuk tahun ini dan pada masa akan datang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media Program ‘High Profile Policing’ Kayuhan Basikal sempena lawatan ke lokasi kamera CCTV di Balai Polis Sentral di sini, pagi semalam.

Burhanuddin memberitahu, program tersebut merupakan salah satu inisiatif di bawah Program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) di mana pihak polis akan mengedarkan risalah berkaitan di samping membuat ‘High Profile Policing’ dan ‘Meet & Greet’ dengan masyarakat yang akhirnya menjurus kepada tema Peringatan Hari Polis Ke-208 iaitu ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada.’

Tambahnya, polis bersama PBT turut melaksanakan beberapa perkara lain dikenal pasti dalam Inisiatif Bandar Selamat.

“Pemasangan CCTV ini merupakan salah satu Inisiatif Bandar Selamat dan terdapat 24 kawasan seluruh DBKU (Dewan Bandaraya Kuching Utara) telah dipasang dengan kamera tersebut, manakala MBKS masih dalam proses.

“Dalam kita melaksanakan program ini, pada masa sama kita memantau keberkesanan Inisiatif Bandar Selamat dan mengumpul segala data dan maklumat untuk tujuan pencegahan jenayah,” jelasnya.

Selain pemasangan CCTV, katanya, turut dilaksanakan ialah pencerahan kawasan gelap atau ‘hotspot’ dengan cahaya lampu dan pengasingan laluan pejalan kaki dari laluan bermotor.

“Menerangi kawasan gelap ini bertepatan dengan fungsi unit pencegahan jenayah dan keselamatan jenayah iaitu bagi menghilangkan niat orang yang ingin melakukan jenayah.

“Kemudian kita juga akan melakukan pengasingan laluan pejalan kaki dari laluan bermotor (berpagar). Ini sekurang-kurangnya dapat menghilangkan kebimbangan terhadap berlakunya kes jenayah ragut,” ujarnya.

Turut hadir pada sidang media tersebut Ketua Polis Daerah Kuching ACP Roslan Bek Ahmad. - UB
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget