Penyelesaian masalah setinggan



Pihak kerajaan juga berusaha untuk menangani masalah setinggan di negeri ini bagi mencapai matlamat setinggan sifar menjelang tahun 2020 selaras dengan Pelan Tindakan Penyelesaian Setinggan Negeri.

Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Haji Johari Tun Abang Haji Openg berkata, jumlah setinggan bagi seluruh negeri Sarawak yang direkodkan pada tahun 2010 ialah sebanyak 9,760 Ketua Isi Rumah (KIR).

"Walau bagaimanapun, semenjak Pelan Tindakan Penyelesaian Setinggan Negeri dilaksanakan pada tahun tersebut, sebanyak 2,750 KIR setinggan atau bersamaan dengan28.2 peratus telah diluluskan penyelesaian oleh kerajaan melalui kaedah-kaedah penyelesaian yang telah ditentukan."

Johari menambah, bagi memastikan sasaran yang telah ditetapkan tersebut dapat dicapai, tindakan-tindakan berterusan seperti berikut seperti membina lebih banyak rumah mampu milik di kawasan-kawasan yang mempunyai bilangan keluarga setinggan yang besar seperti di Bandaraya Kuching, Miri serta Bintulu. 

"Dalam RMKe-11, kerajaan melalui kementerian saya telah mengemukakan cadangan pembinaan rumah mampu milik di kawasan-kawasan yang telah dinyatakan tersebut selain daripada cadangan pembinaan projek-projek rumah mampu milik oleh Perbadanan Pembangunan Perumahan sendiri."

"Kerajaan melalui Jabatan Tanah dan Survei juga akan mengenalpasti lebih banyak setinggan yang sesuai untuk diselesaikan secara “in-situ” atau dipindahkan ke skim-skim penempatan yang sedia ada."

"Dan pemantauan dan penguatkuasaan ke atas perumahan baru setinggan akan dipertingkatkan lagi. Mana-mana setinggan baru yang dikenlapasti akan diambil penguatkuasaan segera termasuk tindakan pengusiran," katanya lagi.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan kementeriannya di Persidangan DUN Sarawak hari ini.

Menyentuh mengenai pembangunan semula kampung, Johari menjelaskan, pihak kerajaan sentiasa berusaha untuk meningkatkan taraf kehidupan rakyat termasuk di kalangan penduduk kampung di bandar-bandar yang menghadapi masalah rumah-rumah yang terlalu padat. 

"Transformasi kampung ini bertujuan untuk menyediakan kawasan perumahan dan persekitaran yang lebih kondusif, teratur dan selamat termasuk penyediaan kemudahan awam secara lebih bersepadu."

"Melalui langkah tersebut, penempatan baru tersebut akan menjadi lebih mampan dengan menyediakan pelbagai kemudahan untuk kegiatan rekreasi, ekonomi, keagamaan dan pendidikan," katanya lagi.

Mengenai pembangunan Darul Hana, beliau menjelaskan, tanah-tanah yang tidak berpenghuni di kawasan Darul Hana telah pun diambil milik oleh Jabatan Tanah dan Survei. Pihak LCDA juga telah membuat bancian sosio-ekonomi bagi mengumpul maklumat terkini untuk persiapan terakhir perlaksanaan projek tersebut. 

"Pelan susun atur untuk Projek Pembangunan Darul Hana juga telah diluluskan pada April 2015. Ekoran daripada itu, pihak LCDA sedang dalam proses penyediaan pelan “sub-division” untuk mendapatkan kelulusan daripada pihak Tanah dan Survei Sarawak."

"Selain itu, kerja-kerja pembinaan Masjid Darul Hana telah bermula dan dijangka siap pada hujung Disember 2015," katanya sambil menambah, kerja-kerja penyedian tapak untuk kawasan perumahan seluas 100 ekar bagi Fasa Pertama sedang dijalankan dan dijangka siap pada hujunh Ogos 2015 dimana pembinaan unit-unit rumah dan kemudahan awam di kawasan tersebut dirancang untuk dilaksanakan di bawah RMKe-11.

Menyentuh tentang pembangunan Kampung Datu Baru, Johari menjelaskan, tapak telah pun disediakan oleh pihak kerajaan di kawasan tersebut yang mempunyai 175 lot sedia ada dan pada masa sekarang, kerja-kerja penimbusan pasir dan infrastruktur ke atas lot-lot tersebut telahpun disiapkan. 

"Daripada jumlah ini, sebanyak 33 unit rumah contoh atau model house akan dibina oleh Perbadanan Pembangunan Perumahan Sarawak di tapak tersebut pada tahun ini bagi memenuhi keperluan rumah para penduduk di kawasan tersebut, termasuk mereka yang terlibat dalam tragedi kebakaran tempoh hari."

"Sementara itu, pemberian lot-lot rumah kepada penduduk yang layak akan dilakukan sebaik sahaja criteria dan mekanisme pengagihan lot tersebut telah dimuktamadkan," katanya lagi.

Johari juga menjelaskan, pembangunan Perumahan di Kemuyang (Sibu) telah diperuntukkan tapak seluas 93.5 hektar iaitu di Lot 624, Blok 8, Seduan Land District, Kemuyang, Sibu oleh kerajaan bagi tujuan ini. 

"Projek ini juga adalah untuk memenuhi keperluan perumahan di kalangan golongan berpendapatan rendah dan setinggan dikawasan Sibu dan tapak tersebut akan disediakan kemudahan awam bagi memastikan penempatan yang teratur dan selesa," kata Johari lagi. - Sarawakiana

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget