Lebih selesa dipanggil Ketua Menteri bukan ‘Yang Disayangi Ketua Menteri’



KUCHING: Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem lebih selesa dipanggil dengan gelaran Ketua Menteri dan bukannya ‘yang disayangi Ketua Menteri’.

Beliau dengan nada berseloroh berkata, gelaran yang disayangi lebih sesuai untuk dipanggil oleh isteri, anak dan cucunya.

“Cukup sekadar memanggil saya CM (Ketua Menteri), tidak perlu yang disayangi Ketua Menteri.

“Gelaran yang disayangi lebih sesuai untuk dipanggil oleh isteri, anak dan cucu saya,” katanya ketika memulakan ucapan penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.

Adenan turut berkata, orang ramai termasuk pemimpin negeri tidak perlu membuat iklan dalam surat khabar kerana ia hanya membuang duit.
Menurutnya, lebih baik duit tersebut disumbangkan untuk rumah kebajikan.

“Saya rasa ini adalah lebih baik daripada membuat iklan hari jadi dan ulang tahun saya sebagai Ketua Menteri,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, beliau mengumumkan pengwujudan sembilan daerah dan enam daerah kecil baharu di negeri ini.

Sembilan daerah baharu merangkumi Tebedu, Subis, Beluru, Sebauh, Tanjung Manis, Kabong, Pusa, Telang Usan dan Bukit Mabong (Tunoh) manakala empat daerah kecil melibatkan Bario, Lapok, Mulu serta Long Bedian.

“Perubahan sempadan pentadbiran ini mewujudkan daerah dan daerah kecil untuk memenuhi jangkaan rakyat terutama dari segi perkhidmatan dan pelaksanaan program serta projek,” jelasnya.

Malah menurutnya, usaha tersebut juga selari dengan transformasi luar bandar.

“Kita menjangkakan lebih banyak pembangunan akan dilaksanakan di kawasan ini dalam masa beberapa tahun akan datang,” katanya. - UB

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget