DUN Sarawak tafakur penghormatan kepada Allahyarham Tun Rahman



KUCHING: Sesi Persidangan Dewan Undangan (DUN) Sarawak pagi ini bermula dengan semua ADUN diminta bertafakur bagi memperingati pemergian bekas Tuan Yang Terutama (TYT) dan juga bekas Ketua Menteri Sarawak Tun Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman Yaakob meninggal dunia pada 9 Januari lepas.

Speaker DUN Sarawak Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar sewaktu pemasyhuran Speaker pada sesi Persidangan DUN Sarawak menyatakan, selain menjadi mantan TYT dan Ketua Menteri Sarawak, Allyahyarham Tun Rahman juga merupakan bekas Ahli Parlimen dan Menteri Persekutuan.

Allahyarham Tun Rahman yang dilahirkan pada 3 Januari 1928 di Bintulu, Sarawak meninggal dunia kira-kira jam 9 malam pada 9 Januari lepas di sebuah hospital swasta di Petra Jaya, Kuching.

Allahyarham Tun Rahman telah memulakan kerjayanya pada tahun 1948 sebagai Pegawai Percubaan (kadet) Bumiputera Sarawak. Beliau menjalankan tanggungjawab dengan penuh dedikasi sehingga dinaikkan pangkat menjadi Magistrate. Dari tahun 1959 hingga 1963, beliau dilantik sebagai Pegawai Perundangan Sarawak, di samping bertugas sebagai Timbalan Pendakwa Raya, Crown Council dan Stipendiary Magistrate.

Allahyarham adalah tokoh utama dari Sarawak yang dipilih Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman dalam usaha meyakinkan rakyat Sarawak, sekali gus mendapat sokongan padu rakyat negeri itu dalam pembentukan Malaysia.

Allahyarham Tun Rahman antara tokoh politik paling berjasa memainkan peranan penting di sebalik penubuhan Malaysia. Putera Kenyalang ini tidak pernah berputus asa meredah kampung-kampung untuk memberikan penerangan kepada rakyat Sarawak.

Dalam bidang politik Sarawak, Allahyarham Tun Rahman berjaya membentuk kerajaan campuran dengan menyatukan Parti Bumiputera dan Parti Pusaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Semasa menjadi Ketua Menteri Sarawak ketiga, Allahyarham merupakan satu-satunya pemimpin yang berjaya memujuk kumpulan komunis di Sarawak kembali ke pangkuan masyarakat yang turut melakar sejarah kejayaan Operasi Sri Aman.

Pada tahun 1963, Allahyarham Tun Rahman dilantik menjadi Menteri Muda di Kementerian Pembangunan Luar Bandar Persekutuan. Seterusnya pada tahun 1964, Allahyarham dilantik pula menjadi menteri Muda Kementerian Kehakiman sebelum bertukar portfolio sebagai Menteri Tanah dan Galian Persekutuan hingga 1969.

Allahyarham Tun Rahman juga pernah bertugas sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Membaca Al-Quran selama 3 tahun (1968-1971).

Allahyarham dilantik sebagai Menteri Pelajaran Persekutuan dari tahun 1969 hingga 1970 dan kemudiannya memegang jawatan Ketua Menteri Sarawak selama 11 tahun bermula 1970 hingga 1981.

Allahyarham Tun Rahman juga pernah bertugas sebagai Pensyarah Sementara di Muslim College, Earling London dari tahun 1986 hingga 1990.

Allahyarham juga merupakan Yang Di Pertua BINA (Angkatan Nahdatul Islam Bersatu Sarawak) dari tahun 1969 hingga 1986 dan menjadi Ahli Majlis Tertinggi RABITAH ALAM ISLAMI (Muslim World leugue, Makkah) selain menjadi anggota Muslim World Congress, Karachi Pakistan.

Semenjak tahun 1970, Allahyarham Tun Rahman aktif dalam mengajar ilmu-ilmu agama Islam dan sering menganjurkan kegiatan dakwah di kediaman beliau di Surau Sri Bahagia, Kuching Sarawak.

Sesi Persidangan DUN Sarawak pada kali bermula dari semalam (21 April 2015) sehingga 29 April 2015.  - Sarawakiana

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget