Manchester United | Ryan Giggs Enggan Bincang Soal Jawatan Pengurus
MANCHESTER - Ryan Giggs menegaskan bahawa dia tidak pernah terfikir untuk menyandang jawatan pengurus sepenuh masa bersama Manchester United meskipun berjaya membawa kemenangan 4-1 ke atas Norwich City dalam perlawanan pertamanya sebagai pengurus sementara di sini semalam.
Perlawanan semalam menyaksikan Wayne Rooney dan pemain gantian, Juan Mata masing-masing menyumbangkan dua gol dan ini merupakan kemenangan terbesar mereka di gelanggang sendiri sejak sering ditewaskan oleh pasukan lawan musim ini.
Rooney tanpa ragu-ragu berkata, dia sangat bersetuju jika Giggs dilantik sebagai pengurus sepenuh masa United dalam satu temu bual selepas perlawanan tamat.
Bagaimanapun, boss pasukan Belanda, Louis van Gaal kekal pilihan utama untuk menggantikan tempat David Moyes yang dipecat minggu lalu.
Giggs, 40, lebih gemar mendiamkan diri daripada menjawab soalan sama ada dia bersedia untuk mempertimbangkan jawatan tersebut.
"Terus-terus saya katakan, kini saya hanya memikirkan strategi untuk perlawanan menentang Sunderland nanti.
"Fokus dan perhatian saya adalah untuk perkara itu sahaja. Saya tiada masa untuk berfikir mengenai benda lain," kata Giggs.
Dalam pada itu, para penyokong merasakan pelantikan Giggs sebagai pengurus baharu pasti akan membawa semula kegemilangan kepada United dan perkara itu membuatkan dia berasa sangat terharu.
"Reaksi yang diberikan oleh para peminat sangat baik. Sudah beribu kali saya merasakan debaran untuk masuk ke padang menghadapi perlawanan besar, namun perkara itulah (reaksi para peminat) yang membuatkan saya berasa paling gembira. Saya berasa sangat berbangga.
"Saya tidak tidur pun malam semalam. Meninggalkan mereka (rakan-rakan sepasukan) untuk bermain di atas padang bukanlah satu perkara yang baik.
"Mereka merupakan rakan sepasukan saya dan ini merupakan kali pertama saya berbuat demikian. Ini merupakan saat yang paling sukar bagi saya dalam minggu ini dan saya tidak suka melakukannya," ujar Giggs. - AFP
Post a Comment