Novy Bydzov (Czech): Lelaki tidak berumah ini dilabel “lelaki paling kotor
di Eropah” kerana tidur dalam timbunan abu sampah yang panas.
Ludvik Dolezal, 58 membakar apa saja yang dijumpai untuk dijadikan “tempat
tidur selesa” sebelum merangkak ke atasnya untuk melelapkan mata.
Dolezal yang dikenali oleh orang yang lalu lalang di kawasan itu sebagai
syaitan dalam kisah dongeng berkata: “Tahun lalu saya berhenti bekerja. Sejak
itu saya tinggal di sini dengan unggun api.
“Setiap malam saya baring di atas abu panas dalam baju dan menggunakan abu
sebagai bahan memanaskan badan. Saya kelihatan teruk selepas itu.
“Saya mempunyai pelbagai kelengkapan sebelum ini - jaket, but, tilam dan
selimut. Namun, saya bakar semua untuk memastikan api tidak padam.
“Ramai orang membantu saya, kadang-kala mereka membawa sesuatu seperti
tayar lama dan saya akan membakarnya.” Menurutnya, dia akan membiarkan api
berterusan sepanjang hari sehinggalah dia masuk tidur pada jam 7.30 malam.
“Kebanyakan benda yang dibakar adalah kayu dari semak berdekatan.
“Ia harus kering untuk dibakar. Apabila saya tidak mempunyai apa-apa untuk
dibakar, saya terpaksa menggunakan kapak dan meotong papan di sekeliling
bangsal tempat saya berteduh,” katanya ketika ditemui.
Dolezal mengaku dia menghadapi kesukaran bernafas. Saya menghisap rokok
setiap masa, saya menghabiskan sebungkus rokok sehari. Ia membantu saya. Saya
bernafas lebih baik apabila menghisap rokok. Menurutnya, dia mendapat bantuan
kira-kira RM444 daripada kerajaan Czech setiap bulan.
Bagaimanapun, pegawai kerajaan tidak memberikan dia wang itu sekali gus
kerana khuatir dia akan membakarnya.
Sebaliknya, mereka memberi duit berkenaan kepada kedai yang dikunjungi
Dolezal setiap hari untuk membeli makanan. - AFP
Post a Comment